B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam di Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Serantau Kali Ketujuh Perkumpulan Wanita Sedunia (ACWW) Bagi Asia Tenggara dan Timur Jauh yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

BETA dengan amat berbesar hati mengalu-alukan kesemua tetamu dan delegasi terkemuka ke Negara Brunei Darussalam.

Sememangnya tahun ini merupakan satu penghormatan yang besar bagi Perkumpulan Wanita kami selaku tuan rumah Persidangan Serantau Kali Ketujuh Perkumpulan Wanita Sedunia (ACWW) Bagi Asia Tenggara dan Timur Jauh.

Beta ingin mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) di Brunei kerana berjaya menjalankan tugas selaku tuan rumah dalam majlis yang penuh berkebajikan ini.

Bila kita melihat tema ACWW tahun ini - 'Bekerja Dengan Wanita Di Seluruh Dunia', adalah jelas bahawa dalam era 'globalisasi' ini, tema ini menjadi lebih relevan.

Revolusi ICT dengan internet dan kemajuan selanjutnya dalam komunikasi mudah alih mendapat kesan yang amat besar dalam penghidupan manusia di rantau kita dan juga dengan cara-cara kita berkomunikasi dan berinteraksi.

Salah satu contoh penggunaan ICT adalah penghantaran teks dengan telefon mudah alih, berkomunikasi dengan rakan-rakan, keluarga dan pejabat mereka.

Tindakan yang sederhana ini dengan sendirinya menggambarkan salah satu daripada pelbagai cara di mana kemajuan teknologi menjadi peralatan bagi kaum wanita di seluruh dunia, bukan hanya untuk berkomunikasi, bahkan juga sama pentingnya adalah mendidik diri mereka sendiri pada semua tahap. Ini adalah untuk memastikan agar generasi muda juga boleh memperolehi pendidikan dengan biaya yang berkemampuan.

Justeru itu adalah penting bagi kerajaan dan NGO di seluruh dunia untuk bekerja bersama-sama bagi memastikan bahawa hasil teknologi dapat diagih oleh setiap orang, terutama sekali penduduk negara-negara membangun dan kurang membangun.

Kemajuan dalam teknologi juga meningkatkan kesedaran ke arah perlindungan alam sekitar semula jadi kita dan bahaya yang disebabkan oleh pencemaran udara yang kita hirup, air yang kita minum dan makanan yang kita makan.

Wanita sewajarnya hendaklah berwaspada dengan bahaya ke atas kesihatan akibat pencemaran, kerana dalam rumah tangga, kaum wanita bertanggungjawab menyediakan makanan untuk keluarga dan juga menjaga kesihatan anak-anak yang masih kecil.

Pencemaran udara, dari industri dan pengangkutan menyebabkan banyak bahaya kepada kesihatan anak-anak kita, dengan penyakit asma serta penyakit pernafasan yang lain kini menjadi penyakit yang begitu lumrah di kalangan kanak-kanak.

Buangan industri dan najis ke dalam sungai-sungai kita, juga racun serangga dan baja dalam pertanian merupakan salah satu penyumbang yang mengurangkan kualiti air yang kita gunakan di rumah-rumah kita. Beta ingin menyeru kedua-dua pihak awam dan swasta agar melihat isu ini dengan serius demi generasi kita pada masa ini dan yang akan datang.

Cara hidup kita yang moden juga membawa kepada beberapa perubahan yang kurang menyihatkan terhadap gaya hidup kita, termasuklah perubahan yang tidak menyihatkan dalam pemakanan kita mahupun jenis makanan yang sedia ada.

Perubahan gaya pemakanan ini kini kelihatan sebagai faktor utama yang menyumbang ke arah apa yang dipanggil 'penyakit gaya hidup', termasuklah penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi, kencing manis dan pelbagai jenis barah.

Dalam hubungan ini, beta berpendapat kaum wanita seharusnya cuba untuk mengagih segala pengalaman mereka dengan makanan sihat bagi keluarga mereka agar kita semua dapat memastikan mereka yang kita sayangi tidak akan mengabaikan kesihatan mereka dengan apa-apa yang mereka makan dan minum.

Isu keganasan terhadap kaum wanita juga harus diberi perhatian yang besar kepada semua wanita. Kita seharusnya mengakui bahawa begitu banyak bentuk keganasan dan penganiayaan terhadap wanita di seluruh dunia.

Di samping itu, keganasan rumah tangga, merogol, memperkosa juga kedua-dua penganiayaan mental dan fizikal berlaku bukan hanya di rumah dan di jalanan, bahkan juga di tempat kerja dan tempat-tempat lain di mana kaum wanita sepatutnya berasa agak selamat.

Apa yang menyedihkan kita adalah begitu banyak bentuk penganiayaan yang kerap berlaku dengan berpanjangan tanpa sebarang hukuman dikenakan disebabkan mangsa tidak mengetahui undang-undang ataupun hak-haknya.

Kejadian keganasan dan penganiayaan semestinya dibanteras dengan kombinasi pendidikan dan hukuman yang berat terhadap pelaku-pelaku jenayah.

Pertubuhan Perkumpulan Perempuan seperti WI pada peringkat kebangsaan dan ACWW pada peringkat serantau dan antarabangsa justeru itu boleh memainkan peranan utama dalam mendidik kaum wanita serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keperluan untuk menghentikan keganasan dan penganiayaan seperti ini.

Akhir sekali beta ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam perundingan awda sekalian di mana beta yakin bahawa persidangan ini dapat menyumbang untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik bagi kaum wanita serta persekitaran yang lebih selamat bagi penghidupan anak-anak kita.

Semasa awda sekalian berada di sini, beta juga berharap agar awda semua berkesempatan melawat beberapa tempat yang menarik di samping mengenali para penduduk di sini juga cara hidup kami.

Dengan kalimat 'Bismillahir Rahmanir Rahim', beta dengan amat sukacitanya merasmikan pembukaan Persidangan Serantau Kali Ketujuh Perkumpulan Wanita Sedunia Bagi Asia Tenggara dan Timur Jauh.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman