B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TEKS UCAPAN
DATO PADUKA HAJI HAZAIR BIN HAJI ABDULLAH
SETIAUSAHA TETAP JABATAN PERDANA MENTERI
SIMPOSIUM PENSEJAJARAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM
21 OKTOBER 2003

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

[Salutations]

Alhamdulillah segala puji-pujian bagi Allah Subahanahu Wata’ala, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam serta kerabat-kerabat, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnianya jua kita dapat bersama-sama hadir di Simposium Pensejajaran dalam Perkhidmatan Awam yang diadakan pada 21 dan 22 Oktober 2003 bersempena Hari Perkhidmatan Awam bagi tahun 2003 ini.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Kerja Simposium diatas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini dan seterusnya merasmikan Simposium Pensejajaran dalam Perkhidmatan Awam pada pagi ini.

Hadirin hadirat yang dihormati sekelian,

Tujuan simposium ini diadakan adalah bagi kita semua di dalam Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengetahui perancangan-perancangan strategik setiap kementerian-kementerian. Di simposium ini nanti, setiap kementerian akan memaklumkan visi, misi, faktor-faktor kejayaan kritikal, nilai-nilai utama organisasi, matlamat dan tugas-tugas strategik kementerian, matlamat operasi dan tugas-tugas operasi jabatan-jabatan dibawahnya.

Di bawah program ini setiap kementerian dan jabatan Kerajaan dikehendaki menyediakan perancangan strategik masing-masing supaya usaha-usaha yang dilaksanakan oleh organisasi-organisasi berkenaan adalah selaras atau sejajar dengan hasrat, wawasan dan aspirasi negara yang digariskan.

Sebagaimana juga yang kita sama-sama maklum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena ulangtahun Hari Keputeraan Baginda yang ke 57 pada 15 Julai 2003 yang baru lalu, telah bertitah menekankan agar semua kementerian dan jabatan Kerajaan memberikan tumpuan yang serius kepada Program Pensejajaran (Alignment Program).

Hadirin hadirat yang dihormati sekelian,

Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam, seperti di negara-negara lain, sedang menjalani perubahan dan perkembangan yang semakin mencabar. Perubahan dan perkembangan ini disebabkan oleh permintaan orang ramai yang semakin sofistikated, arus perubahan teknologi, pemikiran-pemikiran baru dalam bidang pengurusan, persaingan ekonomi serantau dan antarabangsa. Kesemuanya ini memerlukan persiapan-persiapan tertentu diatur bagi menghadapi berbagai cabaran-cabaran ini.

Dalam hal ini, keperluan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien, efektif, produktif dan beretika adalah menjadi matlamat Perkhidmatan Awam dengan mengutamakan langkah-langkah yang dapat mengurangkan kos serta mengelakkan pembaziran dalam mengendalikan sesuatu projek Kerajaan. Dengan demikian, pengagihan dan penggunaan sumber-sumber organisasi akan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap disamping mempunyai justifikasi yang lebih mantap.

Di dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik, cekap dan berkesan kepada orang ramai dan seterusnya kepada rakyat dan negara, Perkhidmatan Awam perlu mempunyai matlamat, peranan, strategi dan juga mekanisme pelaksanaan yang lebih tersusun dan sesuai dengan perkembangan masakini, serta mempunyai wawasan dan visi yang jelas.

Wawasan atau visi adalah amat perlu bagi menghadapi cabaran-cabaran di masa akan datang disamping untuk memberikan arahtuju bagi memperkukuhkan dan menyatupadukan tenaga ke arah pembaharuan yang telah dan sedang diusahakan oleh Perkhidmatan Awam sesuai dengan peredaran zaman.

Hadirin hadirat yang dihormati sekelian,

Peranan setiap setiap Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua jabatan selaku Ketua Agensi masing-masing adalah sangat penting di dalam melaksanakan apa jua yang diperlukan oleh Kementerian atau jabatan masing-masing. Ketua-ketua selaku pemimpin hendaklah mempunyai sikap-sikap yang boleh membantu agensi-agensi masing-masing bergerak menuju ke satu wawasan yang dituju.

Program Pensejajaran ini akan memberikan kesempatan kepada kita semua sebagai Ketua-Ketua Agensi untuk berinteraksi, bekerjasama dan memupuk nilai-nilai seperti ketelusan dan kebolehpercayaan, disamping memberikan peluang kepada semua kementerian untuk mengetahui perancangan strategik masing-masing.

Disamping itu, program ini dihasratkan akan dapat membantu kita semua di setiap kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan mengenalpasti projek-projek yang dikendalikan selaras dengan objektif-objektif yang digariskan dalam Rancangan Kemajuan Negara dan Wawasan Perkhidmatan Awam Abad Ke 21. Perlaksanaan Rancangan Kemajuan Negara, Wawasan Perkhidmatan Awam Abad Ke 21 adalah tanggungjawab semua kementerian-kementerian bagi pencapaian sepenuhnya.

Melalui teknik perancangan strategik yang digunakan ini, tindakan kita di setiap agensi adalah dinamik dimana kita mestilah mempunyai rancangan tertentu untuk memantau perancangan strategik agensi kita secara berterusan ataupun continuously. Perhatian sepenuh masa hendaklah ditumpukan kepada “core business” masing-masing. Ini memerlukan penelitian visi, misi, matlamat dan peranan masing-masing supaya ianya menjadi lebih jelas dan tepat. Dengan ini, setiap kementerian akan dapat mengelakkan sebarang duplikasi disegi bidang kuasa dan bidang kerja dengan kementerian yang lain.

Pensejajaran kearah matlamat yang sama ini, memerlukan komitmen kita semua untuk merancang dan mengambil langkah-langkah sepadu di dalam agensi masing-masing disamping mengadakan usahasama, kordinasi dan memberikan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan bagi merealisasikan apa yang dihasratkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Di kesempatan ini, sukacita juga peramba/kaola/saya memaklumkan bahawa memandangkan kepada kemanfaatan program ini, maka ianya akan dijadikan sebagai salah satu agenda tahunan bagi semua kementerian dan jabatan Kerajaan.

Hadirin hadirat yang dihormati sekelian,

Marilah kita bersama-sama berdoa agar segala usaha yang dikendalikan ini akan mencapai hasil yang dikehendaki, demi untuk kebaikan negara dan mendapat keberkatan dan keredaan Allah Subhanahu Wataala jua.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, peramba/kaola/saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih diatas kerjasama abiskita semua untuk hadir dan sama-sama menjayakan simposium ini.

Akhirnya, dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan mendahulukan kalimah “Bismillahi Rahmanir Rahim”, peramba/kaola/saya sukacita merasmikan pembukaan Simposium Program Pensejajaran dan Perancangan Strategik dalam Perkhidmatan Awam.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Pehin Hazair/Rozan Yunos