B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++ Home | Brunei | His Majesty The Sultan | HRH The Crown Prince | Legislative Council | Government ++
++ Papers | Policy Speeches | Web Links | Financial Planning | Special EDP Program ++

Ucapan
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Di Raja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri
Sempena Pelancaran Penubuhan Unit Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Perdana Menteri,
Pada 14hb April 2005,
Institut Perkhidmatan Awam, Rimba.

Bismillahir Rahamanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya Jua maka kita dapat berhimpun di majlis yang penoh berkebajikan pada pagi ini sempena pelancaran penubuhan Unit Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

Atas titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam sebuah Unit Perkhidmatan Kaunseling telah di tubuhkan pada 5hb Ogos 2004 di Jabatan Perkhidmatan Awam, Perdana Menteri. Penubuhan Unit Perkhidmatan Kaunseling ini merupakan satu lagi lembaran dalam usaha kerajaan yang berterusan bagi meningkatkan mutu Perkhidmatan Awam terutama sekali di kalangan anggota perkhidmatan awam kearah meningkatkan produktibiti; kesedaran dan komited kepada tugas dan tanggung-jawab, serta merancang kemajuan kerjaya mereka.

Kejayaan dasar dan perancangan kemajuan negara sangat bergantung kepada keupayaan dan keberkesanan sektor awam untuk memikul segala tanggungjawabnya dengan mempunyai keanggotaan perkhidmatan awam yang mempunyai dedikasi, disiplin dan komitmen yang tinggi.

Perkara ini di tegaskan banyak kali oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam didalam titah-titah Baginda. Diantaranya ialah didalam titah Baginda sempena menyambut tahun Masihi 2004 dalamana Baginda telah menkankan akan perlunya agensi-agensi dalam kerajaan memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan kearah ini memerlukan dedikasi, disiplin dan komitmen tinggi di kalangan semua anggota perkhidmatan awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Persoalannya ialah adakah Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam mempunyai anggota kakitangan yang mempunyai kualiti-kualiti sepertimana yang di hasratkan dan harapkan? Secara am Jawapannya; “memang ada” malah di dalam perkhidmatan awam, kita mempunyai ramai pegawai dan kakitangan yang mempunyai semangat kerja yang tinggi dan penoh dedikasi. Tetapi, disebaliknya pula terdapat segelintir di dalamnya yang menimbulkan gejala-gejala negatif yang boleh melemahkan dan memberikan gambaran yang negatif kepada perkhidmatan awam pada keseluruhanya. Seperti kata pepatah “Di sebabkan seekor kerbau yang membawa Lumpur semuanya yang terpalit”

Pekara ini sangat disedari oleh pihak-pihak pembuat keputusan (decision-makers) di peringkat atasan. Lebih-lebih lagi terdapat sungutan daripada orang ramai dan tulisan-tulisan di dalam akhbar tempatan mengenai kaunter-kaunter perkhidmatan pejabat yang di tinggalkan kosong, anggota perkhidmatan awam yang susah untuk di hubungi kerana meninggalkan pejabat dan menghabiskan masa untuk rehat minum atau keluar atas urusan peribadi di waktu pejabat.

Sebagai warga perkhidmatan awam yang bertanggungjawab, kita perlu secara kolektif memperbaiki dan mengangkat imej dan nama baik Perkhidmatan Awam dengan menggunakan waktu berkerja dengan penoh bijaksana diantara tuntutan kerja dan peribadi, di samping mematuhi setiap peraturan dan prosedur kerja yang telah di tetapkan. Kita perlu memahami melaksanakan tugas dalam perkhidmatan awam bukannya sambil lewa tetapi dengan penoh dedikasi dan komitmen dengan tujuan memberikan kepuasan kepada pelanggan-pelanggan kita disamping merupakan sebagai suatu tuntutan ibadah.

Disebabkan oleh permasalahan yang dihadapi, banyak yang berpendapat bahawa masanya sudah tiba untuk sektor awam membuat perubahan yang menyeluruh bukan sahaja untuk menangani masalah ini tetapi untuk respon kepada cabaran-cabaran ekonomi dan social yang semakin sofistikated serta merebut peluang-peluang dunia global.

Perancangan terhadap perubahan (reform) secara menyeluruh di sektor awam ini adalah merupakan perancangan jangka panjang saperti yang terkandung di dalam Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke 21.Akan tetapi apa yang menjadi kebimbangan ialah terdapatnya beberapa kepincangan dan kelemahan di peringkat mikro seperti ‘dead-wood’, kurang komitmen dan dedikasi, masalah disiplin dan lain-lain lagi yang perlu ditangani dengan segera dan bersistematik sebelum ianya menular menjadi masalah serious yang akan melumpuhkan jentera pentadbiran Perkhidmatan Awam.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam telah mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah ‘dead-wood’ ini dengan mengenakan tindakan disiplin dan tata tertib. Disebalik itu, kerajaan juga merasakan sebagai aset negara mereka ini perlu diberikan peluang melalui bimbingan supaya mereka boleh memainkan peranan mereka dan balik kepada main stream dengan cara coba memahami permasalahan dan tekanan yang dihadapi baik ditempat kerja mahupun persekitaran mereka yang menjadi punca mereka bersikap negative.

Dalam waktu yang sama anggota perkhidmatan awam yang mempunyai masalah didiplin dan etika kerja termasuk kurung komitmen dan motivasi perlu diberikan peluang untuk memperbaiki diri mereka melalui menjalani perkhidmatan kaunseling sebelum tindakan tata tertib dikenakan keatas mereka.

Bagi tujuan ini, Unit Perkhidmatan Kaunseling di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan untuk memastikan supaya pegawai dan kakitangan dalam Perkhidmatan Awam dapat mempertingkatkan produktibiti dan merancang kemajuan kerjaya dengan menggunakan sepenuhnya potensi diri secara positif dan proaktif melalui perkhidmatan kaunseling.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam juga menyedari hakikat bahawa menurut amalan tradisi perkhidmatan kaunseling memainkan peranan sebagai perkhidmatan dokongan (supporting role) kepada perkhidmatan awam. Tetapi, dalam era sistem maklumat pengurusan sumber manusia, perkhidmatan kaunseling dianggap sebagai rakan strategik dan komponen penting dalam pengurusan sumber manusia (human resource management) di sektor awam sesebuah negara.

Tugas dan tanggungjawab (terms of reference) Unit ini tidaklah semata-mata tertumpu untuk memberi nasihat dan kaunseling kepada pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam yang bermasalah atau yang dikenakan tindakan tatatertib dan mereka yang dikenalpasti sebagai ‘dead-wood’ tetapi meliputi juga anggota Perkhidmatan Awam yang ingin mencari penyelesaian keatas masalah peribadi, tekanan emosi dan stress kerja dengan tujuan untuk meningkatkan prestasi kerja, produktibiti dan kemajuan kerjaya mereka.

Dalam pada itu, Unit Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Pertkhidmatan Awam akan juga diberi tugas untuk menyediakan khidmat runding kepada agensi-agensi kerajaan berhubung dengan perkhidmatan kaunseling bertujuan untuk membangun motivasi dan meningkatkan keupayaan dan keutuhan kepegawaian dan pembangunan kerjaya.

Dalam hubungan ini, saya ingin menekankan di sini bahawa kelancaran dan keberkesanan khidmat runding ini sangat bergantung kepada kerjasama dan komitmen serta usaha yang gigih dari ketua-ketua jabatan. Sehubungan dengan ini setiap kementerian dan jabatan hendaklah melantik seorang pegawai sebagai pegawai penghubung kepada Unit Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengendalikan hal ehwal yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling bagi kementerian/jabatan masing-masing. Dalam pada itu, Unit Perkhidmatan Kaunseling, JPA juga hendaklah menyediakan program latihan yang sesuai bagi pegawai-pegawai ini.

Bagi meningkatkan keberkesanan Unit Perkhidmatan Kaunseling dan mempastikan arahan-arahan yang diberikan kepada pegawai dan kakitangan bagi mengikuti sesi kaunseling dipatuhi, satu peraturan akan diperkenalkan dalama mana arahan yang diberikan itu bukanlah merupakan sebagai pilihan atau optional tetapi sebagai satu kewajipan dan sebarang keengganan akan mengakibatkan tindakan disiplin yang lebih serious akan diambil.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Institut Perkhidmatan Awam dan Unit Perkhidmatan Kaunseling, JPA yang telah berusahasama bagi melaksanakan pelancaran penubuhan Unit Perkhidmatan Kaunseling. Ini merupakan suatu perkembangan yang sihat yang harus dicontohi oleh organisasi-organisasi lain. Mudah-mudahan kerjasama yang erat ini akan diteruskan bagi aktibiti-aktibiti dan program-program lain seterusnya.

Dengan mendahulukan kalimat “Bismillahir Rahmanir Rahim” dan bertawakkal kepada Allah s.w.t jua maka saya dengan amat sukacita merasmikan penubuhan Unit Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Prime Minister's Office

(c) BRUNEIresources.com, 2005. All Rights Reserved.
Best viewed on Mozilla Firefox.
Website designed by Qasrun Nafis (Raw HTML & NotePad).
Background graphic 'jongsarat' designed by the late Musdi Gapar.