B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


KERTASKERJA SEMINAR HARI KEBANGSAAN 2004
"POLITIK, PENTADBIRAN DAN WAWASAN: PERLAKSANAAN DAN HALA TUJU"
oleh Dato Paduka Haji Hazair bin Haji Abdullah,
Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri

Bahagian I – Politik, Pentadbiran dan Wawasan

Pengenalan

Politik, pentadbiran dan wawasan merupakan satu topik yang sangat luas dan boleh dikaitkan dengan berbagai isu. Walau bagaimanapun bagi memudahkan pengkhususan sebelum kertaskerja ini menghuraikan mengenai dengan perlaksanaan dan halatuju, ianya akan menyentuh beberapa perkara lain sebagai konteks atau latarbelakang di dalam melihat perlaksanaan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Apa yang dimaksudkan sebagai politik, pentadbiran dan wawasan?

Pentakrifan politik secara umum ialah apa sahaja yang berkaitan dengan kerajaan atau negara. Perkataan ini berasal daripada perkataan Bahasa Latin "politicus" dan digunakan oleh orang Greek sebagai "politicos" yang bermakna berkenaan rakyat (citizen).

Dari itu dapatlah diertikan bahawa politik bermakna apa sahaja yang berkenaan dengan pemerintahan sesebuah negara dimana ini sudah setentunya termasuklah isu-isu seperti pemberian kuasa, kehakiman (adjudicating), penguatkuasaan (enforcing), penjagaan (protecting), pemeliharaan (caring), kemajuan dan pembangunan (development). Konteks politik inilah yang akan digunakan di dalam kertas kerja ini.

Pentadbiran pula adalah merupakan jentera kerajaan yang mendukong gagasan politik dan wawasan negara dan mempastikan perlaksanaan dasar-dasar, perancangan pembangunan negara, sistem pengadilan, penggubalan dan pembuatan dan seterusnya penguatkuasaan undang-undang berjalan dengan lancar dan berkesan.

Manakala wawasan pula adalah matlamat besar bagi jangka masa panjang yang ingin dicapai oleh sesuatu bangsa dan negara. Ianya mencakupi politik, pembangunan, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan dan hal-ehwal luar negara.

Sejarah dan Corak-Corak Pemerintahan

Kertas kerja ini sepintas lalu juga mengimbas sejarah dan corak-corak pemerintahan Brunei dan dari sini akan dapat dilihat wawasan negara dan Kerajaan.

Secara ringkas kertas kerja ini membahagikan pemerintahan negara ini kepada empat period iaitu pemerintahan berbentuk tradisi, pemerintahan selepas perjanjian Brunei dengan United Kingdom pada 1906, pemerintahan selepas Perlembagaan tahun 1959 dan pemerintahan selepas Kemerdekaan tahun 1984.

Pemerintahan Tradisi

Corak pemerintahan Brunei sebelum adanya Perjanjian Brunei dengan British pada tahun 1906 adalah sebagai sebuah negara bersultan yang menurut adat istiadat dan landasan Ugama Islam bahawa Sultan adalah menjadi pemimpin rakyat dan menjadi pemerintah untuk menjalankan pemerintahan negara.

Dasar pemerintahan negara di zaman pemerintahan tradisi terdiri di atas empat perkara seperti berikut:-

  1. Kanun – Hukum Kanun Brunei warisan Sultan Hassan, Sultan Brunei yang ke-9;
  2. Syarak – Hukum Ugama Islam
  3. Adat Istiadat – Adat istiadat yang berkaitan dengan raja dengan adat yang digunakan oleh masyarakat
  4. Resam – resam sesuatu kumpulan masyarakat kecil atau puak

Konsep hubungan raja dan rakyat yang digunakan sebagai asas dalam pemerintahan adalah "raja hendaklah adil dan rakyat janganlah menderhaka".

Pemerintahan selepas Perjanjian Tahun 1906

Sebelum perjanjian 1906 ini, Brunei mengalami pergolakan politik yang amat hebat dimana empayar Brunei mulai susut dengan adanya James Brooke mengambil kesempatan untuk merampas kawasan Brunei, walaupun Brunei Darussalam telah menandatangani Perjanjian 1888 sebagai negara naungan (protected) British. Untuk mempastikan keselamatan Brunei, perjanjian 1906 telah ditandatangani dimana diadakan seorang Residen British menasihati Sultan di dalam semua perkara kecuali yang berkaitan dengan hal ehwal ugama Islam dan adat istiadat Melayu.

Dengan adanya perjanjian ini juga, sistem pentadbiran awam tradisi telah digantikan dengan sistem pentadbiran awam cara Barat. Dengan ujudnya sistem residen British di Negara Brunei Darussalam; pembinaan bangunan-bangunan, infrastruktur dan prasarana, pendidikan dan kesihatan telah dipertingkatkan dan diberikan perhatian sewajarnya. Disamping itu penemuan minyak pada tahun 1929 di Seria juga telah mengubah corak pemerintahan dan menjadi pengaruh besar di dalam pengurusan dan pentadbiran negara.

Pemerintahan selepas Perlembagaan Negeri Brunei 1959

Penggubalan dan pengisytiharan Perlembagaan Bertulis Negara Brunei Darussalam Tahun 1959 merupakan sebagai perubahan yang sangat signifikan kepada politik dan pentadbiran moden abad 20 Negara Brunei Darussalam. Ianya telah mengembalikan status Negara Brunei Darussalam sebagai pemerintahan kesultanan Brunei di samping mencorakkan politik dan pentadbiran Negara Brunei Darussalam sebagai adunan pemerintahan tradisi dan moden.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah diantaranya Perlembagaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1959 merupakan sebagai satu langkah yang besar dalam kemajuan perkembangan negeri ini menuju ke arah kerajaan sendiri yang penuh dan merdeka dimana perlembagaan ini menumpukan kepada Islam sebagai ugama rasmi negara, menggariskan kuasa eksekutif Sultan, Islam sebagai agama rasmi negara, dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Dengan adanya Perlembagaan 1959 ianya adalah merupakan asas kepada politik dan pentadbiran Negara Brunei Darussalam yang meletakkan kuasa eksekutif sepenuhnya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, disamping memberikan ketentuan kepada perlaksanaan kuasa eksekutif Sultan melalui proses undang-undang dan pentadbiran awam dan nasihat daripada beberapa majlis-majlis masyuarat.

Dengan kuasa-kuasa terletak di dalam negeri, Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai kuasa memerintah sepenuhnya tetapi ianya masih dianggap oleh dunia luar sebagai negara naungan kerana hal ehwal luar negeri dan pertahanan negara ini masih menjadi tanggungjawab United Kingdom.

Walau bagaimanapun pada pokoknya negara ini mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kuasa melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang dan kuasa untuk menggubal dasar-dasar kerajaan serta menggerakkan jentera pentadbiran negara untuk memajukan dan mengembangkan ekonomi negara dan mempastikan kesejahteraan rakyat.

Pemerintahan selepas Kemerdekaan Penuh 1984

Negara Brunei Darussalam, walaupun daripada sebuah empayar yang besar telah menjadi sebuah negara yang kecil, dan menghadapi berbagai tekanan politik; telah berjaya mempertahankan dan mengekalkan "status quo"nya sebagai sebuah kerajaan yang merdeka lagi berdaulat dengan pemerintahan kesultanan yang unggul yang berasaskan kepada perlembagaan, undang-undang dan ugama Islam.

Pengisytiharan kemerdekaan penuh Negara Brunei Darussalam pada 1hb Januari 1984 dan penerimaan Brunei sebagai ahli Pertubuhan Dunia – Bangsa-Bangsa Bersatu telah meletakkannya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dan tampil di hadapan masyarakat dunia setaraf dengan negara-negara dunia yang lain tidak kira yang jauh lebih besar darinya.

Wawasan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dengan jelasnya terkandung didalam titah pemasyhoran kemerdekaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Permasyhoran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1hb Januari 1984 dimana Baginda telah bertitah di antara lain:-

"… Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin dan limpah kornia Allah Subhanahu Wata’ala, akan selama-lamanya kekal menjadi sa-buah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahlis Sunnah Waljamaah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan, dan dengan petunjok serta Keredzaan Allah Subhanahu Wata’ala jua akan sentiasa berusaha pada memperolehi ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagian bagi ra’ayat Beta, dan demikian juga pemeliharaan perhubongan persahabatan di kalangan antarabangsa atau dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutohan (kukuh) wilayah bagi semua negara yang bebas dan champur tangan dari luar negeri ...."

Daripada kandungan titah pemasyhoran tersebut wawasan negara dapat disenaraikan seperti berikut:-

  1. Negara Brunei Darussalam kekal sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang demokratik yang bersendikan ajaran-ajaran Islam mengikut ahli Sunnah Wal-Jamaah
  2. Keadilan dan Amanah – bagi mengujudkan "good governance"
  3. Ketenteraman dan keselamatan – Negara Brunei Darussalam sebagai negara aman dan tenteram
  4. Kebajikan dan kesejahteraan – bagi mengujudkan kemakmuran dan perkembangan sosial dan ekonomi
  5. Hubungan antarabangsa yang berlandaskan saling menghormati dan bebas dari campor tangan.

Wawasan dan matlamat tersebut adalah merupakan elemen-elemen penting yang menjadi halatuju perjalanan politik dan perlaksanaan jentera pentadbiran negara.

Bahagian II - Perlaksanaan dan Halatuju

Pengenalan

Matlamat sesebuah kerajaan adalah untuk mengujudkan keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara untuk faedah rakyat, disamping untuk mengekalkan imej bangsa dan negara.

Bagi mencapai matlamat tersebut disamping ianya dipandu oleh falsafah negara iaitu dalam konteks Negara Brunei Darussalam – Melayu, Islam, Beraja; tetapi ianya juga bergantung kepada beberapa aspek-aspek utama termasuklah kestabilan politik dan pemerintahan atau pentadbiran yang baik atau dalam bahasa Inggerisnya, lebih dikenali sebagai "good governance" iaitu keberkesanan perlaksanaan undang-undang; dasar dan peraturan; perancangan dan perlaksanaan keselamatan; perancangan kemajuan ekonomi; pengagihan kemudahan-kemudahan asas seperti perumahan, pendidikan, kebajikan sosial dan kesihatan serta perlaksanaan dasar kerohanian bagi memantapkan kesejahteraan dan keamanan rakyat serta penduduk.

Kesemua aspek-aspek utama ini adalah sebagaimana jua wawasan dan halatuju yang terdapat dalam isi kandungan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa pemasyhoran kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1hb Januari 1984.

Secara ringkas dan menyeluruh kertas kerja ini akan memberikan fokus terhadap perlaksanaan dalam pentadbiran bagi pencapaian wawasan dan hala tuju negara.

Melayu Islam Beraja

Perkara ini tidak akan di sentuh berpanjang lebar dalam kertas kerja ini kerana ianya telah banyak disentuh di siding-sidang yang lain. Walau bagaimanapun secara ringkas falsafah Melayu Islam Beraja dalam konteks kertas kerja ini adalah sebagai konsep yang menegakkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam yang berlandaskan Al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. sebagai tunggak bagi semua kegiatan yang menyentuh kepentingan negara, bangsa, bahasa dan budaya Melayu serta keutamaan institusi beraja untuk sistem pemerintahan Negara Brunei Darussalam.

Dalam menghayati falsafah Melayu Islam Beraja, negara ini telah melaksanakan beberapa program bagi menerapkan lagi semangat falsafah ke dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

Institusi Melayu

Institusi Melayu adalah merupakan alat perpaduan pemimpin dan rakyat yang secara langsung telah membolehkan negara ini bertahan dan hidup dan seterusnya bagi survival masa depan negara ini. Puak-puak Melayu mengamalkan dan mengekalkan nilai-nilai hidup tradisi yang berasaskan adat istiadat dan tatasusila, dan ajaran ugama Islam. Sehingga kini, tradisi tersebut diserapkan ke dalam urusan pemerintahan negara iaitu ketaatan kepada raja, agama dan negara. Kehidupan yang berteraskan kepada adat istiadat, tatasusila dan saling hormat menghormati telah mengujudkan masyarakat yang harmoni di Negara Brunei Darussalam. Dalam menjaga kesempurnaan dan keutuhan adat istiadat bangsa melayu Negara Brunei Darussalam, Jabatan Adat Istiadat Negara dan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat Negara adalah agensi dan institusi yang bertanggungjawab mengenainya.

Institusi Islam

Penubuhan-penubuhan agensi-agensi ugama seperti Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan perlaksanaan sistem pendidikan Islam dan sistem kehakiman dan keugamaan Islam merupakan aspek-aspek utama dalam melaksanakan falsafah negara ini. Penghormatan kepada hari-hari tertentu dalam kalendar Islam juga dilaksanakan disamping mempastikan perkara-perkara seperti pembacaan Al-Quran sebelum bermulanya pekerjaan harian dan pembacaan doa bagi semua majlis-majlis termasuk mesyuarat-mesyuarat adalah juga dilaksanakan. Penyaluran melalui media-media elektronik disamping pendidikan di sekolah-sekolah juga turut menjadi penggerak pembangunan rohani semua masyarakat di negara ini.

Institusi Beraja

Sultan di dalam Institusi Beraja memerintah dan menjadi ketua negara dan seterusnya menjadi ketua pentadbir bagi pentadbiran dan pengurusan negara dan kerajaan. Kuasa Sultan yang telah dinyatakan dibawah Perlembagaan adalah seperti berikut:

"… Kuasa memerintah yang tertinggi bagi Negara Brunei Darussalam adalah terletak di dalam tangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan …"

dimana kuasa yang diamanahkan di bawah Perlembagaan kepada Baginda ini ditumpukan bagi kebajikan, kesejahteraan serta keamanan rakyat dan penduduk. Ke arah itu, Baginda telah menekankan dan menggariskan ciri-ciri pentadbiran dan pengurusan jentera kerajaan.yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi hasrat Baginda dan hasrat negara bagi sebuah negara yang aman makmur.

Sejarah bangsa dan negara telah menunjukan bahawa kita telah menjadi suatu bangsa yang berupaya untuk menghadapi dan mengharungi masa depan. Sistem pemerintahan beraja telah dapat membawa negara mencapai matlamat-matlamat dan sistem pemerintahan berdasarkannya telah dapat membawa kebajikan kepada masyarakat.

Kearah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Jubli Perak Baginda Menaiki Takhta pada 5 Oktober 1992 telah bertitah antara lain:-

"… jika kita teliti dan perhatikan dengan jujur, membuktikan bahawa sistem pemerintahan yang kita amalkan selama ini yang telah berjalan sekian lama itu, adalah kukuh dan malahan berjaya membawa kebajikan kepada rakyat dan negara. Jadi dari bukti yang ringkas ini, adalah cukup untuk memberikan jaminan dan keyakinan bahawa "sistem pemerintahan beraja" yang telah kita warisi dan pelihara itu telah berhasil menciptakan kebahagian dan keunggulan untuk Negara Brunei Darussalam …"

Hubungan di antara raja dan rakyat adalah berasaskan kepada tanggungjawab timbalbalik sebagaimana jua wawasan pemerintahan tradisi "raja hendaklah adil dan rakyat janganlah menderhaka" dan sama-sama menunaikan amanah Allah Subhanahu Wata’ala.

Secara amnya, kepentingan falsafah ini dapat dilihat daripada konteks dimana ianya membolehkan negara ini mengharungi dunia di era globalisasi dengan calak Brunei yang tersendiri dengan berteraskan kepada ajaran ugama Islam dan identiti bangsa Brunei.

Mempastikan Kestablian Politik bagi Perlaksanaan Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat dan Negara

Pada akhir abad ke 19 hingga ke awal tahun 1960an, Negara Brunei Darussalam telah menghadapi bermacam tentangan termasuk daripada orang-orang yang berpengaruh dan berkepentingan peribadi. Bermacam peristiwa yang perit telah dihadapi dalam sejarah ke arah penubuhan negara dan kerajaan yang moden.

Walau bagaimanapun dengan adanya sokongan padu daripada semua pihak yang taat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, keamanan dan keharmonian telah dapat dikecap oleh semua pihak di negara ini. Kestabilan politik telah membawa Negara Brunei Darussalam maju setapak demi setapak ke arah permodenan sehingga hari ini.

Kestabilan politik ini telah dapat memberikan dan membolehkan negara ini sebagai sebuah negara merdeka yang bertanggungjawab bagi memainkan peranan yang penting ke arah memajukan perkembangan negara dan ke arah mempastikan keharmonian kesemua rakyat dan penduduk di negara ini. Kestabilan ini adalah sangat penting bagi memberikan rakyat dan penduduk di negara ini satu platform bagi menghadapi masa depan yang teratur dan terjamin.

Apa yang jelas ialah negara ini walaupun ianya sebuah negara kecil tetapi dengan adanya kestabilan politik, ianya bukan sahaja mampu mentadbir dan memerintah negaranya sendiri malah ianya juga mampu untuk bersaing dan berdebat dengan masyarakat antarabangsa.

Mempastikan Perlaksanaan Pemerintahan "Good Governance"

Satu daripada wawasan dan matlamat Kerajaan adalah bagi mempastikan keadilan dan Amanah dalam kerajaan. Walau bagaimanapun keadilan dan amanah ini hanya akan dapat dicapai jika adanya satu sistem pemerintahan yang berpandukan kepada pemerintahan yang baik ataupun "good governance."

Konsep "good governance" jika kita ambil daripada konsep yang digunakan oleh antarabangsa seperti menurut United Nations High Commission for Human Rights (UNHCR), "good governance" ataupun pemerintahan/pentadbiran yang baik adalah seperti berikut:-

"… Governance is the process whereby public institutions conduct public affairs, manage public resources and guarantee the realization of human rights. Good governance accomplishes this in a manner essentially free of abuse and corruption, and with due regard to the rule of law ….. The key question is: are the institutions of governance effectively guaranteeing the right to health, adequate housing, sufficient food, quality education, fair justice and personal security? …"

Daripada ungkapan di atas, kita telah boleh memerhatikan bahawa Negara Brunei Darussalam telah menkecapi apa yang dikatakan sebagai "good governance" menurut apa yang didefinasikan oleh UNHCR.

Pencapaian ini adalah lebih daripada apa yang boleh diimpikan oleh sesetengah negara-negara lain di dunia ini. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan melalui wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah sedaya upayanya mencuba untuk mempastikan bahawa kualiti kehidupan setiap penduduk dan rakyat di negara ini memenuhi semua aspek "good governance" supaya mereka dan negara ini sentiasa dalam keadaan ketenteraman dan kemakmuran.

Jika kita teliti satu persatu, perlaksanaan selama 20 tahun kebelakangan ini, banyak yang telah dicapai. Perlaksanaan tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa sudut yang akan dihuraikan perlaksanaannya dengan dibahagikan kepada isu-isu di bawah ini.

Perlaksanaan Keadilan Dalam Kerajaan

Penubuhan mahkamah sivil dan mahkamah jenayah secara rasmi pada tahun 1906, adalah dengan adanya satu akta ataupun enakman yang diluluskan oleh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dimana Baginda telah memperuntukkan bagi penubuhan mahkamah-mahkamah berkenaan bagi pentadbiran keadilan di seluruh negara.

Sementara itu Mahkamah Kadi menjalankan peranannya dengan adanya satu undang-undang pada tahun 1955. Walau bagaimanapun undang-undang berkenaan dengan pentadbiran ugama Islam telah diadakan lebih awal lagi iaitu pada tahun 1912.

Sehingga kini, kebebasan ataupun ‘independence’ kehakiman telah dapat dipertahankan dengan adanya hakim-hakim yang dilantik bukan sahaja terdiri daripada hakim-hakim dalam negeri tetapi hakim-hakim daripada luar negeri yang berkelayakan dan berpengalaman. Sistem kehakiman yang bebas daripada sebarang pengaruh terhadap pengadilannya ini telah memberikan kepercayaan bahawa negara ini boleh dan mampu memberikan penghakiman atau "judgment" dan keadilan yang boleh dipercayai dan tidak memberati atau menyebelahi kepada mana-mana pihak.

Sementara itu, usaha-usaha juga sedang dilakukan bagi membolehkan kedua-dua sistem perundangan dan kehakiman iaitu kehakiman melalui sistem perundangan sivil dan sistem perundangan Islam disatukan.

Usaha-usaha ini termasuklah jua penubuhan Jabatan Kehakiman Negara yang bertanggungjawab bagi pentadbiran kedua-dua mahkmah-mahkamah sivil dan kadi; dan mengadakan kursus akademik Diploma Guaman Islam di Universiti Brunei Darussalam bagi membolehkan penasihat dan pegawai undang-undang yang berlatarbelakangkan undang-undang sivil mengetahui bagaimana melaksanakan undang-undang Islam sementara penasihat dan pegawai undang-undang yang berlatarbelakangkan undang-undang Islam menghadiri kursus undang-undang sivil di luar negara bagi membolehkan mereka ini juga untuk melakukan praktis dalam undang-undang sivil.

Usaha-usaha seperti ini telah dapat membantu negara ini menuju kepada wawasan negara sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja.

Perlaksanaan Ketenteraman dan Keselamatan Negara dan Rakyat

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah semasa Majlis Sambutan Israk Mikraj 1424 Hijrah:

" ... Negara kita adalah negara undang-undang dan untuk membuktikan bahawa kita tidak berolok-olok maka hendaklah pihak-pihak berkenaan mestilah lebih berani dan tegas sehingga semua orang tahun bahawa Negara Brunei bukalah laluan bagi jenayah …"

Penubuhan Pasukan Polis Diraja Brunei pada tahun 1906 merupakan usaha awal ke arah memberikan perkhidmatan keselamatan di negara ini. Daripada beberapa orang mata-mata pada masa itu, Pasukan Polis Diraja Brunei telah menjadi sebuah pasukan yang besar dengan lebih kurang 4,000 orang pegawai dan kakitangan pada masa ini. Sesuai dengan perkembangan semasa, pasukan tersebut telah berkembang dengan mempunyai cawangan-cawangan dan pos-pos polis di seluruh negara yang bertujuan untuk mengawal keamanan dan ketenteraman awam dan negara. Pasukan ini juga telah dipermodenkan dengan peralatan-peralatan teknologi terkini dan pegawai-pegawai yang terlatih bagi memudahkan penyiasatan dan penyelesaian kes-kes jenayah.

Anak-anak tempatan yang berkaliber dan berpendidikan telah diserapkan ke dalam kalangan anggota pegawai dan kakitangan polis dengan diberikan latihan dalam bidang-bidang kepolisian samada di dalam ataupun di luar negeri. Pegawai dan kakitangan polis wanita juga telah diserapkan mulai tahun 1975 dan telah sama-sama menabur bakti dan jasa dalam mempertahankan kedaultan dan kerharmonian negara.

Untuk mempertahankan negara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah ditubuhkan pada tahun 1961 untuk bertindak bagi menghalang sebarang kuasa luar yang berniat untuk campur tangan secara langsung kepada negara dan sebarang elemen yang dan akan berlaku di dalam negeri. Angkatan Bersenjata Diraja Brunei merupakan sebagai complementary kepada Pasukan Polis Diraja Brunei dalam mana Angkatan Bersenjata mempertahankan keselamatan negara dan Pasukan Polis mengawal keamanan di dalam negara.

Perkembangan Angkatan Bersenjata dapat diperhatikan dengan perkembangannya kepada beberapa bahagian seperti Angkatan Tentera Darat, Angkatan Tentera Laut, Angkatan Tentera Udara dan Pusat Latihan. Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah sebagai pejuang pertahanan negara dan menghadapi cabaran-cabaran yang mengancam negara ini baik dari dalam atau luar negara.

Selain daripada itu, banyak lagi agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang telah ditubuhkan bagi menghadapi apa jua masalah-masalah dan ancaman-ancaman yang boleh mengancam kemakmuran negara ini. Diantaranya ialah Biro Mencegah Rasuah, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Keselamatan Dalam Negara dan beberapa agensi lain yang menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Eksais dan sebagainya.

Akta-akta keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri diadakan semata-mata untuk mempastikan bahawa negara ini kekal sebagai sebuah negara yang aman makmur tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir yang jahat dan yang tidak diingini.

Dalam menjamin keselamatan negara ini daripada anasir-anasir yang tidak diingini yang boleh merosakan keselamatan negara, kesemua agensi-agensi penguatkuasa undang-undang telah melipatgandakan usaha ke arah memantapkan kestabilan, keselamatan dan kerhormanian negara dengan melancarkan operasi-operasi seperti menjalankan pemeriksanaan di jalan raya. Operasi juga ditumpukan kepada kesalahan seperti wang palsu, menyeludup dan sebagainya.

Dengan kukuhnya benteng yang dipertahankan oleh Angkatan Bersenjata, Pasukan Polis, semua agensi-agensi penguatkuasa di dalam memelihara ketenteraman, keharmonian dan keamanan negara dan rakyat di negara ini dari sebarang ancaman dan jenayah, Negara Brunei Darussalam telah dapat menjadi sebuah negara yang maju dan aman makmur di rantau ini.

Perlaksanaan Kesejahteraan Rakyat Melalui Perkembangan Ekonomi

Memantapkan ekonomi adalah merupakan agenda utama negara ini ke arah mewujudkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini dan seterusnya bagi mempastikan ianya sentiasa berterusan. Strategi kemajuan ekonomi negara ini adalah ke arah penekanan kepada Rancangan-Rancangan Kemajuan Negara semenjak ianya dilaksanakan dimana Rancangan-Rancangan ini telah dirancang dan dilaksanakan semenjak tahun 1960an lagi sehingga sekarang. Sebanyak lapan buah Rancangan-Rancangan Kemajuan Negara telah diadakan sehingga tahun 2005.

Sementara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-20 pada 23 Februari 2004, bahawa Kerajaan Baginda komited untuk mempertingkatkan infrastruktur fizikal melalui rancangan kemajuan jangka panjang selepas tahun 2005 kerana ia termasuk sebagai hala tuju bentuk wawasan negara.

Baginda telah memperkenankan bagi dua buah badan iaitu sebuah badan petugas bagi mengemaskinikan lagi wawasan negara dan sebuah badan perencana kemajuan jangka panjang yang diketuai di peringkat menteri yang berperanan menyediakan rangka kerja dan perancangan kemajuan bagi jangka waktu 30 tahun yang bermula pada tahun kewangan 2006. Wawasan negara ini merupakan kesinambungan kemajuan dan kemakmuran negara dan sebagai kewajipan negara yang berterusan.

Di bawah Rancangan-Rancangan Kemajuan Negara yang ada sekarang, berbagai usaha dan program telah laksanakan yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sector yang meliputi bidang-bidang perniagaan, pelaburan, perusahaan, pelancungan, pertanian dan seumpanya.

Tumpuan juga diberikan kepada pembangunan sosio ekonomi yang seimbang dan pemesatan mengembangmajukan perusahaan-perusahaan melalui peningkatan pelaburan dari luar negara. Usaha-usaha untuk menggalakkan kemajuan perkhidmatan kewangan dan pelancungan juga diteruskan. Khusus bagi Rancangan Kemajuan Negara yang ke lapan, usaha ke arah penggunaan teknologi maklumat atau ICT secara meluas juga diperkenalkan.

Penubuhan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan agensi-agensi di bawahnya menunjukan betapa perihatinnya kerajaan kepada usaha-usaha untuk mengadakan dan mempelbagaikan ekonomi negara ini untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber minyak dan gas semata-mata. Penubuhan Majlis Ekonomi Negara Brunei Darussalam dan peningkatan peranan Jabatan Perkembangan dan Kemajuan Ekonomi menunjukan lagi komitmen kerajaan kepada perlaksanaan perkembangan ekonomi.

Lembaga Kemajuan Ekonomi juga sedang memainkan peranan yang penting menjadi pemankin di dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi dan seterusnya bagi membolehkan negara ini mencapai kemakmuran yang berterusan. Disamping itu, beberapa dasar dan program juga dilaksanakan oleh semua Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan bagi mengembangkan ekonomi seperti dasar SHuTT (Service Hub for Trade and Tourism) dan sebagainya.

Ke arah itu juga, dapat diperhatikan bahawa ekspot-ekspot bagi hasil bukan minyak telah meningkat. Lapuran bagi RKN ke-7 telah menunjukan bahawa ekspot keseluruhan negara meningkat sebanyak 82.5% daripada tahun 1996 sehingga tahun 2000. Pada masa yang sama, pengenalan eko-pelancungan juga merupakan satu strategi negara ke arah meningkatkan pendapatan melalui pelancungan dan seterusnya untuk memperkembangkan lagi industri pelancungan di negara ini.

Kita juga telah dapat melihat kemudahan seperti tempat penginapan, perhubungan dan pengangkutan dan juga perkhidmatan kewangan seperti pertukaran matawang, perkhidmatan perbankan dan lain-lain telah dipertingkatkan dan dipromosikan secara berkesan.

Penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa juga bertujuan untuk memantapkan ekonomi negara. Usaha-usaha telah ditumpukan ke arah mengemaskinikan semua undang-undang perbankan, menggubal undang-undang baru bagi mengukuhkan lagi sistem dan pengawalseliaan sistem perbankan dan kewangan juga sedang dilakukan dimana kesemua ini adalah dihasratkan bagi membantu pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara.

Beberapa usaha lain seperti penubuhan Jawatankuasa Meneliti Semula Undang-Undang juga adalah dihasratkan untuk membantu perkembangan ekonomi dengan meneliti undang-undang yang lama dan mengadakan undang-undang yang baru untuk memudahcarakan lagi pengurusan pentadbiran Kerajaan dan pengendalian perniagaan di negara ini.

Selain dari itu, sektor-sektor seperti perindustrian, pertanian dan perikanan juga telah diberikan tumpuan di dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi dan seterusnya memberikan peluang pekerjaan bagi rakyat dan penduduk di negara ini. Kita telah dapat memperhatikan kejayaan di dalam beberapa sektor seperti penternakan ayam yang telah mencapai 100% sara diri dan beberapa sektor lain seperti pengeluaran sayur-sayuran yang hampir mencapi tahap sara diri sepenuhnya.

Kesemua ini tidak akan wujud tanpa adanya usaha semua pihak tetapi yang lebih pentingnya ialah kewujudan kestabilan politik dan kerajaan yang sentiasa perihatin akan keperluan rakyat dan penduduk negara ini.

Mempastikan Kesejahteraan Rakyat Melalui Perlaksanaan Prasarana Asas

Perlaksanaan bagi mengagihkan kemudahan asas merupakan salah satu usaha terus menerus yang dilakukan oleh Kerajaan di dalam usahanya untuk menyediakan pelbagai kemudahan bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Ini termasuk penyediaan pelbagai kemudahan asas seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Dalam usaha-usaha untuk memberikan perumahan kepada semua rakyat dan penduduk di negara ini, beberapa projek perumahan melalui skim-skim perumahan telah diadakan dan diteruskan sehingga sekarang memandangkan kepada permintaan yang sentiasa meningkat berdasarkan pertambahan penduduk dari masa ke semasa.

Rancangan-rancangan perumahan negara telah bermula daripada tahun 1930an lagi tetapi dipertingkatkan pada tahun 1950an dan pada tahun 1980an sehingga sekarang. Beberapa kawasan perumahan tahun 1950an telah dapat dilihat perkembangannya seperti di Kampung-Kampung Bunut, Burong Pingai Berakas, Panca Delima, Anggerek Desa dan sebagainya. Kawasan perumahan tahun 1980an sehingga sekarang dapat dilihat dengan adanya Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Kampung Perpindahan Mentiri dan sebagainya.

Jumlah keluasan keseluruhan bagi skim rancangan perumahan negara bagi seluruh negara berjumlah lebih kurang 4,247 hectares yang boleh menempatkan lebih kurang 19,000 lot rumah dengan keramaian penduduk dianggarkan melebihi 120,000 orang. Sementara itu di bawah skim tanah kurnia rakyat jati, sebanyak 1,053 hectares telah diperuntukan membolehkan pembinaan lebih kurang 9,000 buah lot rumah bagi menempatkan lebih kurang 60,000 penduduk.

Pembangunan infrastruktur yang lain bagi memberikan kemudahan asas seperti air dan elektrik sentiasa dipertingkatkan. Lebih daripada 90% rumah-rumah di negara ini telah dibekalkan dengan air dan elektrik. Disamping itu perkhidmatan komunikasi ke seluruh negara dan ke dunia luar melalui telefon juga dapat diadakan samada melalui fixed line ataupun telefon mobile. Kemudahan perhubungan ini membolehkan khidmat-khidmat seperti internet, mobile banking dan sebagainya diadakan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan pendidikan rakyat dan bagi menambahkan lagi perkhidmatan "value added" kepada semua.

Kemudahan infrastruktur seperti jalanraya dan bangunan-bangunan kerajaan sentiasa diteruskan. Pembinaan lebuhraya diteruskan bagi menyambungkan ke kawasan-kawasan pendalaman di daerah-daerah selain daripada pembinaan jalan-jalanraya yang baru dan moden. Kesemua ini berhasrat untuk mengurangkan kesesakan lalulintas dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di negara ini.

Mempastikan Kesejahteraan Rakyat Melalui Perlaksanaan Kesihatan dan Bantuan Kesejahteraan

Daripada segi kesihatan pula, selain daripada Kerajaan membina hospital-hospital di setiap daerah bagi orang ramai mendapatkan rawatan, perubatan, pembedahan dan laithan; pusat-pusat kesihatan di kesemua kawasan utama di seluruh negara juga telah diadakan bagi rawatan awal dan pencegahan sebelum rawatan di hospital-hospital. Disamping itu, pusat rawatan jantung khusus juga telah ditubuhkan yang bertaraf antarabangsa bagi memberikan rawatan khusus kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

Selain daripada itu, bantuan-bantuan kewangan juga telah diberikan kepada mana-mana rakyat yang memerlukannya. Pencen-pencen tua telah diberikan tanpa memerlukan sebarang sumbangan daripada rakyat sendiri jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang memerlukan sumbangan semasa hayat bekerja sebelum menerima pencen tua semasa persaraan. Penubuhan agensi-agensi khusus seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat juga telah diadakan bagai membolehkan dan seterusnya mempertingkatkan lagi penyelarasan bantuan-bantuan kepada sesiapa yang memerlukannya.

Mempastikan Kesejahteraan Rakyat Melalui Perlaksanaan Pendidikan

Kerajaan menyedari tenaga manusia merupakan aset yang berharga dan memainkan peranan penting di dalam kemajuan ekonomi, telah terus menumpukan usaha kepada meningkatkan kualiti serta kecekapan sistem pendidikan dan latihan bagi memperbaiki prestasi penuntut-penuntut dalam mempastikan kesesuaiannya selaras dengan keperluan negara. Usaha-usaha sekarang ini telah melebihi daripada usaha-usaha awal kerajaan iaitu ke arah memberikan pendidikan sahaja. Penuntut-penuntut di semua peringkat diberikan galakan dalam semua bidang khususnya dalam bidang sains, matematik dan teknologi ICT.

Penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi seperti Universiti Brunei Darussalam, Institut Teknologi Brunei dan Maktab-Maktab Teknik merupakan usaha negara untuk meningkatkan lagi kualiti sumber tenaga manusia dan membolehkan anak-anak tempatan memenuhi jawatan-jawatan peringkat professional di pasaran buruh tempatan.

Namun demikian, usaha-usaha masih diteruskan bagi menghantar pelajar-pelajar yang berjaya bagi bidang-bidang professional yang tidak ada di negara ini ke negara-negara luar. Bagi memudahcara lagi pentadbiran sistem pendidikan di negara ini, beberapa akta dan peraturan baru-baru telah diadakan di antaranya Perintah Pendidikan 2003 dan Peraturan Pendaftaran Institusi Pendidikan 2003.

Kesemua usaha-usaha ini adalah bukan sahaja bagi membolehkan rakyat dan penduduk negara ini memiliki ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang tetapi bagi ianya mampu menempa kecemerlangan negara dan membolehkan ianya turut bersaing di arena antarabangsa di era globalisasi masa kini.

Mempastikan Kebajikan Rakyat Melalui Perlaksanaan Dasar Kerohanian

Dasar kerohanian diperlukan bagi memantapkan kesejahteraan dan keamanan rakyat disamping mengujudkan pembangunan yang seimbang diantara material dan spiritual. Perkembangan Islam yang telah wujud di negara ini sejak enam kurun yang lalu diperkukuhkan lagi dengan Perlembagaan 1959 yang memaktubkan bahawa Ugama Islam adalah ugama rasmi negara. Majlis Ugama Islam juga ditubuhkan yang bertanggungjawab menangani perkembangan ugama Islam di Negara Brunei Darussalam.

Hari-hari kebesaran Islam diberikan perhatian dan disemarakkan lagi dengan keraian di peringkat kebangsaan dan di peringkat-peringkat yang lain. Ianya diraikan dengan penuh meriah melalui pelbagai aktiviti keugamaan dengan penyertaan semua pihak di negara ini.

Ke arah ini juga, perkembangan pendidikan telah dipertingkatkan lagi dengan melibatkan sekolah-sekolah ugama ditempatkan di bawah satu bumbung bersama dengan semua sekolah-sekolah lain di negara ini yang bertujuan agar pendidikan umum dan pendidikan ugama menjadi lebih seimbang. Penyatuan ini juga adalah bagi menghasilkan sumber tenaga manusia yang berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan kehidupan berbangsa dan bernegara termasuk fardhu kifayah yang meliputi sosioekonomi dan politik negara. Pendidikan ugama sentiasa diberikan penekanan terutamanya dalam pendidikan Al-Quran dan amali ugama kerana ianya merupakan nadi pendidikan ugama.

Pengurusan kewangan Islam juga diberikan perhatian dengan penubuhan bank Islam dan Tabung Amanah Islam Brunei. Khidmat insuran Islam juga diadakan selain daripada perkhidmatan-perkhidmatan perbankan dan kewangan Islam. Kursus-kursus mengenai dengan perbankan dan kewangan Islam juga diadakan di Universiti Brunei Darussalam bagi menyebarkan lagi pengetahuan dan pendidikan mengenainya.

Mempastikan Perlaksanaan Perhubungan Antarabangsa

Pada masa yang sama kestabilan politik juga membolehkan negara ini untuk memainkan peranan yang penting di arena antarabangsa dalam mewujudkan keamanan dunia sejagat. Negara ini telah diiktiraf dan digalati serta telah berupaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat antarabangsa yang lain. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah mengenai pencapaian negara di bidang antarabangsa sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 20 pada tahun 2004 dimana Baginda bertitah:

"… Kita juga berhasil meletakkan negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain, sambil tidak ketinggalan memelihara keamanan dan kestabilan serantau mahupun antarabangsa … Sikap dan peranan kita ini amatlah dihormati sertra diiktiraf sebagai adil dan bertanggungjawab oleh semua pihak …"

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah merintis tanggungjawab negara di arena antarabangsa dan dengan penuh bijaksana telah bekerja keras untuk menempatkan negara ini sebagai sebuah daripada negara-negara berdaulat di dunia ini. Masyarakat dunia kagum dan terpegun dalam usaha negara ini menjadi sebuah negara yang merdeka dan usaha negara ini di dalam menjadi pemankin dan pembawa keamanan dan ketenteraman pada masa ini.

Keahlian-keahlian dalam Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa penting bagi pertubuhan berbentuk politik seperti United Nations ataupun ekonomi seperti World Bank dan International Monetary Fund telah dijadikan sebagai salah satu cara bagi negara ini memberikan sumbangan kepada dunia sejagat.

Negara ini telah mengamalkan dasar terbuka untuk mengadakan hubungan berbaik-baik dengan sesiapa sahaja, samada dengan rakan-rakan terdekat seperti di rantau ASEAN ataupun yang jauh iaitu berlandaskan prinsip dan semangat hormat-menghormati serta tidak campur tangan terhadap hal ehwal negara masing-masing. Bantuan-bantuan juga diberikan kepada negara-negara yang memerlukannya sebagai komitmen negara kepada manusia sejagat.

Lawatan-lawatan Ketua-Ketua Negara dan Pemimpin-Pemimpin Luar yang terus mencurah-curah ke negara ini adalah satu daripada manifestasi dasar negara ini untuk berbaik-baik dan hormat menghormati dengan negara-negara luar. Lawatan-lawatan seperti ini telah memperluaskan pelbagai bidang kerjasama dan merintis jalinan mesra dan persahabatan yang akrab dan luas. Ini akan menambahkan lagi perhubungan di peringkat perdagangan dan secara tidak langsung akan membantu kepada perkembangan dan kemajuan ekonomi di negara ini.

Disamping itu, negara ini juga telah diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi beberapa persidangan-persidangan bertaraf antarabangsa. Kecemerlangan kita mempengerusikan dan menjadi tuan rumah persidangan-persidangan ini telah mendapat pengiktirafan dan sanjungan daripada pemimpin dunia di antaranya Presiden Bill Clinton, bekas Presiden Amerika Syarikat sendiri.

Mempastikan Perlaksanaan Jentera Pelaksana Kerajaan - Perkhidmatan Awam

Perkhidmatan Awam moden yang ada sekarang adalah hasil daripada wawasan Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sutan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dimana selepas permasyhuran Perlembagaan 1959, Baginda telah bertitah:-

"…Di masa ini yang pertamanya mustahaklah kita menentukan bahawa perkhidmatan awam kita adalah teguh, taat dan boleh menjalankan segala dasar-dasar kerajaan dengan bijak dan cergas. Maka akan menjadi kewajipan yang utama dan tugas bagi Kerajaan Beta untuk mengadakan perkhidmatan awam yang sedemikian …"

Dengan adanya undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam digubal pada tahun 1961 dan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 1 Januari 1962, bermulalah perkhidmatan awam moden di negara ini sebagai tunggak utama dalam menggerak sumber tenaga manusia dan penyumbang kepada program pembangunan negara.

Menyedari pentingnya peranan perkhidmatan awam ini, pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan di dalam mempastikan bahawa perkhidmatan awam di negara ini sentiasa berkesan, efisen serta cekap dalam menanai tugas dan tanggungjawab bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat, mewujudkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara yang berkekalan.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyedari akan cabaran, pergolakan dan persaingan di abad ke-21 telah mengadakan Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21 yang bertujuan untuk memberikan arahtuju dan fokus serta menyatukan usaha-usaha yang telah, sedang dan diungkayahkan oleh Perkhidmatan Awam bagi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Ke arah itu, satu wawasan yang bergelar Perkhidmatan Awam Abad ke-21 telah dibentuk seperti berikut:

"… Untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam yang sentiasa membangun dan berusaha dengan gayanya tersendiri menurut calak Islam dalam perseketiran yang sihat dan selamat di bawah inayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wataala …"

dalam mana untuk melaksanakan Wawasan tersebut juga, telah dikenalpasti beberapa strategi yang akan mendatangkan kesan positif terhadap struktur, dasar dan pelakuan organisasi termasuklah mengadakan:-

  • Rukun Akhlak dan Etika Kerja Perkhidmatan Awam
  • Rancangan Penelitian Semula Ke Atas Perkhidmatan Awam
  • Penelitian Semula Ke Atas Undang-Undang dan Peraturan-Peraturan
  • Kumpulan Kerja Cemerlang
  • Tekad Pemedulian Orang Ramai
  • Pembangunan Sumber Manusia
  • Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam

Di dalam melaksanakan usaha-usaha itu, berbagai perkara telah dilaksanakan sepanjang perkhidmatan awam moden ini termasuklah langkah-langkah yang terkini seperti memperkenalkan e-kerajaan ke dalam sistem pentadbiran perkhidmatan awam. E-Government ataupun E-kerajaan sebagai alat terkini adalah untuk memudah cara proses perkhidmatan awam di dalam memberikan sistem pentadbiran yang lebih efisien, produktif dan dinamik. Peruntukan lebih kurang $800 juta telah diperuntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-8 telah diberikan untuk melaksanakan rancangan E-Kerajaan ini.

Perkhidmatan awam juga diperkenalkan dengan tatacara dan amalan-amalan disamping mempastikan bahawa setiap agensi perkhidmatan awam itu sejajar di dalam melaksanakan wawasan dan halatuju negara ini. Program pensejajaran telah diadakan bagi membolehkan setiap Kementerian dan agensi Kerajaan bertindak menuju kepada wawasan dan matlamat yang sama.

Di dalam usaha-usaha untuk mempastikan bahawa Kerajaan Baginda sentiasa berterusan memberikan perkhidmatan-perkhidmatan awam yang cemerlang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sendiri bercemar duli mengadakan lawatan-lawatan mengejut kepada agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. Lawatan-lawatan seperti ini adalah bertujuan untuk mempastikan bahawa agensi-agensi Kerajaan sentiasa mengamalkan praktis perkhidmatan awam yang cemerlang disamping mengekalkan konsep pentadbiran/pemerintahan yang baik ataupun "good governance".

Penutup

Matlamat politik, pentadbiran dan wawasan negara ialah untuk mengekalkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara kesultanan yang merdeka dan berdaulat yang berasaskan kepada perlembagaan, undang-undang, ugama dan falsafah MIB.

Melalui pentabiran yang berasaskan kepada prinsip "good governance", Kerajaan telah dapat memberikan keperluan asas dalam hak kehidupan manusia dari segi keamanan dan keselamatan, kemakmuran dan pembangunan, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan dan juga perlindungan undang-undang kepada rakyat.

Politik dan pentadbiran wawasan negara juga dapat membawa negara dan rakyat di negara ini untuk terus maju ke hadapan menghadapi cabaran-cabaran dunia moden dan era globalisasi.

Falsafah Melayu Islam Beraja adalah sebuah falsafah yang memberikan keyakinan dan jati diri kepada bangsa Brunei untuk berhadapan dan berinteraksi dengan masyarakat dunia antarabangsa dalam bidang politik dan perdagangan. Falsafah MIB ini juga adalah landasan bagi mendapatkan ilmu pengetahuan, teknologi dan berbagai kemahiran.

Apa yang jelas politik, pentadbiran dan wawasan negara menekankan kepada pembangunan yang seimbang di antara material dan spiritual.

Dalam tempoh 20 tahun melalui arus kemerdekaan negara ini telah dapat memenuhi perlaksanaan dan halatuju wawasan yang telah divisikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan itu bagi mengadakan sebuah negara yang aman makmur dipenuhi dengan masyarakat-masyarakat yang mahdini dan sebuah kerajaan yang sentiasa berusaha ke arah memelihara keamanan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan kemakmuran negara, serta menegakkan syiar dan memuliakan Islam sebagai agama rasmi negara.

Sumber-Sumber Rujukan:

  • Ucapan Penutup Seminar Antarabangsa "Good Governance" anjuran Universiti Brunei Darussalam diberikan oleh YM Dato Paduka Haji Hazair bin Haji Abdullah (2002)
  • Lamanweb United Nations Development Program (2002)
  • Titah-Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terbitan Jabatan Penerangan (1959 - 2004)
  • Websters New World Dictionary (1994)
  • Melayu Islam Beraja: Suatu Pendekatan ditulis oleh YDM Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Ustaz Haji Md Zain bin Haji Serudin (1998)
  • Ciri-Ciri Pentadbiran Islam: Dasar dan Perlaksanaan ditulis oleh Prof. Dato Dr Haji Mahmud Saedon Awang Othman (2002)
  • Membangun Negara Berdasarkan Falsafah Melayu Islam Beraja ditulis oleh Haji Duraman Tuah (2001)
  • Pentadbiran Awam Brunei Darussalam di Period Naungan Pemerintahan Sendiri ditulis oleh Haji Duraman Tuah (1997)
  • Perkhidmatan Awam Abad Ke-21 Negara Brunei Darussalam terbitan Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (1999)
  • Pelita Brunei Keluaran Khas Sempena Hari Kebangsaan Tahun 2004 terbitan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (2004)
  • Pelita Brunei Keluaran Khas Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke 57 terbitan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (2003)

(c) Pehin Hazair/Rozan Yunos