B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++ Home | Brunei | His Majesty The Sultan | HRH The Crown Prince | Legislative Council | Government ++
++ Papers | Policy Speeches | Web Links | Financial Planning | Special EDP Program ++

TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifudeien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena lawatan negara Tuan Yang Terutama Bounnhang Voracith, Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao
pada 23 - 24 Mac 2005.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Tuan Perdana Menteri, beta berasa amat gembira menemui tuan di sini di Negara Brunei Darussalam.

Kami ingin mengucapkan terima kasih kerana menerima undangan kami. Dan kami amat mengalu-alu kedatangan tuan dan Puan Vorachith.

Beta berharap kami dapat membalas sedikit sebanyak layanan mesra yang rakyat tuan perlihatkan pada tahun lepas tatkala kami mendapat kesempatan melawat Vientiane bagi Sidang Kemuncak ASEAN.

Sudah setentunya perhimpunan para pemimpin serantau dan antarabangsa itu, merupakan detik yang penting bagi kerajaan dan rakyat tuan.

Ianya memberi peluang bagi tuan untuk memperlihatkan negara tuan dan rakyatnya kepada rantau dan dunia pada keseluruhannya.

Kami semua berasa cukup kagum.

Kami juga bersedia untuk bekerja dengan sebuah kerajaan yang siap siaga dan begitu bersedia bersama-sama jiran tetangganya bekerjasama dengan erat serta memainkan peranannya dalam pembangunan Asia Tenggara.

Beta ingin mengucapkan tahniah atas segala pencapaian negara tuan sepanjang waktu sejak negara tuan menyertai pertubuhan serantau kita. Dan beta secara khusus mengucapkan tahniah kepada tuan, Perdana Menteri, atas kepimpinan yang telah tuan berikan sejak tahun lalu juga atas keunggulan tuan selaku Pengerusi mesyuarat kita.

Di samping bekerja bersama-sama selaku anggota ASEAN, kami juga sedang mengembangkan perhubungan dua hala yang amat dititikberatkan.

Ianya sebenarnya seringkali dimaksudkan sebagai hubungan di antara rakyat dengan rakyat.

Sejak 1998, tatkala beta berkesempatan melawat Laos serta mendapat penghormatan menerima Presiden tuan di sini. Inilah yang paling ingin kami galakkan.

Di Negara Brunei Darussalam, kami penuh percaya kesemua ini adalah asas bagi hubungan baik yang berkekalan.

Inilah juga yang saling mewujudkan kemesraan dan persefahaman dalam pelbagai dokumen formal yang telah kita tandatangani selaku tampuk kerajaan.

Sama ada ianya diperkembangkan melalui aktiviti budaya, acara sukan atau ehwal perniagaan atau komersil harian. Kesemua ini merupakan yang paling utama dalam perhubungan yang sangat penting.

Beta amat gembira melihatnya berkembang di antara rakyat kita.

Rakyat beta amat menikmati segala peluang bagi mengenali rakyat tuan serta memahami cara hidup tersendiri pihak tuan yang cukup istimewa.

Mereka amat terhutang budi atas persahabatan yang mereka berikan bila mana mereka berada di negara tuan dan ke arah ini kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih.

Tuan Perdana Menteri, pada peringkat yang lebih formal, beta juga percaya kami telah melaksanakan bersama kemajuan dengan cukup baik.

Kami amat gembira menyaksikan begitu ramai penuntut tuan di sini terutama sekali yang terlibat dalam latihan yang disediakan dalam program bantuan teknikal kami di bawah Inisiatif Integrasi ASEAN.

Suruhanjaya Bersama kami juga menyediakan cara yang praktikal bagi mengagih gagasan serta menghadapkan saranan-saranan baru dan beta berharap ianya akan terus dilaksanakan.

Begitu banyak yang perlu dipertimbangkan terutama sekali dalam peluang perdagangan dan pelaburan kerjasama berterusan dalam bidang pendidikan dan kebudayaan serta juga dalam pembangunan industri pelancongan kita.

Perhubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Lao memang amat bererti dan praktikal.

Yang pasti ianya mendatangkan faedah kepada rakan kongsi yang terlibat dalam segala pelan yang berani bagi masa depan yang dihulurkan oleh pertubuhan serantau kita.

Namun, di waktu yang sama, ianya terjalin dengan mesra dan penuh peribadi.

Justeru itu, beta amat gembira atas segalanya yang kita capai bersama setakat ini, dan beta amat berharap untuk terus mengukuhkan hubungan yang amat unggul ini.

Kerajaan dan rakyat beta bersama-sama menyampaikan salam penuh mesra kepada kerajaan dan rakyat Republik Demokratik Rakyat Lao dan berharap semoga tuan dan Puan Vorachith berasa senang sepanjang berada di negara kami.

Wabillahit Taufik Wal-hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman

(c) BRUNEIresources.com, 2005. All Rights Reserved.
Best viewed on Mozilla Firefox.
Website designed by Qasrun Nafis (Raw HTML & NotePad).
Background graphic 'jongsarat' designed by the late Musdi Gapar.