B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++ Home | Brunei | His Majesty The Sultan | HRH The Crown Prince | Legislative Council | Government ++
++ Papers | Policy Speeches | Web Links | Financial Planning | Special EDP Program ++

TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1426 Hijrah.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Dengan menjelangnya bulan Rabiulawal, kita di negara ini secara tradisi telah berpeluang lagi merayakan Hari Keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sambutan perayaan ini kita lakukan adalah sebagai tanda penghormatan kita terhadap diri Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, seorang pemimpin agung yang membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Banyak ajaran Baginda yang perlu kita pelajari dan banyak contoh yang perlu diikuti, seperti sikap prihatin Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap kesejahteraan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Salah satu sikap tersebut ialah menggalakkan umat Baginda supaya sentiasa berusaha atau bekerja bagi mencari rezeki yang halal. Sikap tersebut telah ditanam kepada para sahabat melalui maksud sabda Baginda ini:

"Seandainya seorang daripada kamu membawa tali, kemudian dia datang dengan seikat kayu yang diangkat di belakangnya, lalu dijual kayu-kayu tersebut sehingga dia dapat menjaga maruahnya, maka hal ini adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada orang yang belum tahu sama ada dia diberi atau sebaliknya."

Umat Islam berkewajipan untuk berfikir dan bertindak sesuai dengan sikap dan petunjuk Baginda ini, kerana bekerja dan berusaha untuk mencari rezeki adalah merupakan suatu tuntutan agama yang perlu dilaksanakan. Golongan belia, khasnya yang berilmu dan mempunyai kemahiran, mestilah bergerak dan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk mengisi peluang-peluang pekerjaan mencari rezeki yang halal lagi bersih.

Mengikut statistik, pada tahun 2004, jumlah anak tempatan yang berdaftar mencari pekerjaan ialah seramai 7,784 orang, sedangkan pekerja asing yang bekerja di negara ini berjumlah 75,273 orang. Berdasarkan statistik tersebut, sepatutnya tidaklah akan berlaku pengangguran di kalangan anak-anak tempatan di negara ini.

Menyentuh mengenai isu pengangguran ini, kerajaan beta telah memberikan peluang kepada semua golongan untuk memperolehi kemahiran bekerja dan pengalaman berusaha yang dapat meningkatkan mobiliti mereka. Ia merupakan pelaburan yang penting dan dapat memberikan manfaat secara keseluruhan.

Adalah tidak terlalu sukar untuk memperolehi kemahiran bekerja serta pengalaman berusaha yang telah diperkenalkan oleh kerajaan beta di negara ini. Namun sejauh mana ia mencapai matlamatnya, mungkin saja tidak terlepas dari beberapa sebab tertentu, di antaranya dari sikap individu sendiri.

Jikalah benar, di antara sebab pengangguran itu berpunca dari sikap individu, maka adalah perlu ianya diperbaiki oleh individu itu sendiri, di samping menguatkan semangat dan azam bagi melepaskan diri dari belenggu pengangguran, sejajar dengan garis pandu, betapa pahala bagi orang yang berbelanja menanggung nafkah orang-orang yang di bawah tanggungannya itu adalah sangat besar, sebagaimana maksud hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ini:

"Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah dan satu dinar yang engkau belanjakan pada seorang hamba dan satu dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin dan satu dinar yang engkau belanjakan kepada keluargamu, pahala yang paling besar ialah dinar yang engkau belanjakan terhadap keluargamu." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Jika kita amat-amati sikap dan prihatin Baginda ini, adalah jelas bahawa bekerja dan berusaha itu menjadi syarat asasi untuk memperolehi kebahagiaan berkeluarga serta mustahak bagi pembangunan masyarakat dan negara.

Maka bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam serta juga mengambil petunjuk dari sikap Baginda menggalakkan umatnya supaya kuat berusaha, maka beta berseru supaya rakyat dan penduduk negara ini akan terus berlumba untuk mendapatkan rezeki yang halal melalui usaha dan kerja yang halal pula, sebagai tanggungjawab memenuhi keperluan keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungan kita. Langkah ini tidak syak lagi adalah sumbangan yang besar kepada keteguhan institusi keluarga serta sekali gus turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan ketenteraman negara.

Wabillahit Taufik Wal-hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) BRUNEIresources.com, 2005. All Rights Reserved.
Best viewed on Mozilla Firefox.
Website designed by Qasrun Nafis (Raw HTML & NotePad).
Background graphic 'jongsarat' designed by the late Musdi Gapar.