B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++ Home | Brunei | His Majesty The Sultan | HRH The Crown Prince | Legislative Council | Government ++
++ Papers | Policy Speeches | Web Links | Financial Planning | Special EDP Program ++

TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena Lawatan Negara Tuan Yang Terutama S R Nathan, Presiden Republik Singapura
di Istana Nurul Iman
pada 16 Mac 2004.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Kami amat berbesar hati menerima kedatangan Tuan Presiden ke Negara Brunei Darussalam.

Beta ingin sekali mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sambutan yang sungguh istimewa yang beta terima pada tahun lepas dalam lawatan kami ke Singapura.

Bersempena dengan lawatan ini, beta berharap kami dapat membalas sedikit sebanyak layanan istimewa yang telah awda berikan kepada kami.

Tahun ini pula, Tuan telah memberi kami penghormatan dengan mengadakan lawatan negara yang serupa.

Dalam hubungan ini, Tuan bukan hanya berada bersama-sama kami sebagai rakan lama.

Tuan berada di sini selaku wakil salah sebuah negara jiran kami yang paling rapat dan paling disegani dan Tuan adalah tempat kami mengagih begitu banyak kerjasama.

Yang demikian, kami mengucapkan selamat datang kepada Tuan dan Puan Nathan.

Sejak dua puluh tahun yang lalu, kedua-dua buah negara kita telah menjalinkan hubungan yang amat kukuh dan penting sekali.

Ianya mempunyai begitu banyak lembaran.

Ianya merangkumi hubungan yang khusus yang menyatukan matawang kita hinggalah kepada perundingan yang cukup meluas yang dijalankan hampir dalam setiap aspek penghidupan moden, kedua-dua awam dan komersil.

Kerjasama kita cukup meluas dan berkekalan.

Tuan Presiden, sebagaimana yang telah Tuan sentuh tahun lepas, kita merupakan dua buah negara yang paling kecil di rantau kita.

Di waktu yang sama, situasi geopolitik antarabangsa berubah dengan dramatik sejak beberapa tahun yang lalu bagi negara-negara seperti negara kita.

Atas sebab inilah, terdapat beberapa faktor yang khusus yang menghubungkan negara-negara kecil seperti negara kita di dunia pada hari ini.

Yang penting, kita mempunyai kepentingan yang sama dalam memastikan keamanan dan keselamatan serantau.

Beta yakin kesemua ini memerlukan kita semua menghalakan segala usaha kita ke arah dua objektif.

Yang pertama sudah setentunya, adalah untuk memastikan masa hadapan bagi warganegara kita masing-masing.

Rakyat kita seharusnya berusaha dengan lebih meluas tidak hanya menerima secara pasif segala perubahan yang membentuk setiap aspek penghidupan moden.

Mereka seharusnya cukup bersedia untuk menghadapinya dengan yakin.

Sebagaimana yang Tuan telah sentuh, kedua-dua buah negara kita agak kekurangan dari segi fizikal.

Oleh itu, rakyat kita seharusnya berusaha dengan lebih tekun lagi agar dapat menghadapi dan mengatasi segala perubahan moden.

Mereka seharusnya dapat menguasainya serta mendapat faedah darinya.

Beta yakin inilah satu-satunya laluan yang boleh membawa kepada kestabilan juga keselamatan peribadi yang dapat diberikannya kepada rakyat kita dalam erti kata yang sebenarnya.

Bahagian lain di dunia tidak dapat membantu kita berkembang maju melainkan kita dapat memberikan alasan untuk terlibat sama serta melabur bagi masa depan kita.

Begitulah cabaran yang kita hadapi baik secara ekonomi mahupun teknologi.

Atas alasan ini, kami di Negara Brunei Darussalam amat menghargai segala kesempatan yang diberikan dalam perhubungan kami dengan negara Singapura.

Melalui perhubungan ini, kami memperolehi pengetahuan, menambah kepakaran dan mengagih pengalaman dengan pelbagai lapisan masyarakat hari ini.

Kami mengagih hampir setengah abad pengalaman yang sama di mana ini adalah legasi yang perlu dipupuk serta dikembangkan secara berterusan.

Objektif kedua yang beta sebut, melewati kedua-dua buah negara kita.

Kita telah memperluaskan rasa hormat yang mendalam di antara satu sama lain di mana kita sering mengadakan perundingan pada semua tahap penghidupan awam dan pribet.

Kesemua ini merupakan sebahagian dari satu rangkaian perhubungan yang serupa, terjalin bersama-sama rakan-rakan kita dalam ASEAN.

Kerjasama adalah bagaikan jantung ASEAN di mana perhubungan di antara para anggotanya merupakan salur nadi yang amat penting.

Ianya boleh diibaratkan nyawa bagi pertubuhan ini.

Kesemua program, projek serta objektifnya mengalir melaluinya.

Oleh itu , pada dasarnya ianya memastikan agar jantung ASEAN kekal kukuh.

Tuan Presiden, justeru itu beta memandang perhubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura atas dasar tersebut.

Beta yakin ianya mendatangkan faedah bukan hanya kepada rakyat kita bahkan juga kepada rantau kita yang kita sama-sama bangga menjadi sebahagiannya.

Beta ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan dan rakyat Singapura atas sokongan besar yang diberikan untuk mewujudkan perhubungan seumpama itu.

Lawatan Tuan memang detik yang amat bererti dalam sejarah kami.

Kini sudah 20 tahun sejak kami mencapai semula kemerdekaan penuh kami.

Sepanjang waktu itu, kami telah belajar dengan begitu banyak untuk menjadi anggota di dunia dan masyarakat serantau.

Sejak membuat langkah moden pertama keluar dari pinggir pantai kami, semua teman di rantau ini memberikan sokongan yang amat besar kepada kami.

Yang penting sekali, kami amat menghargai kemurahan hati dan galakan yang diberikan oleh para pemimpin Singapura dan perwakilannya dalam ehwal antarabangsa.

Rakyat Tuan merupakan teman rapat kami dalam perjalanan kami menyusuri dunia antarabangsa yang sukar ini.

Kerajaan dan rakyat beta amat berpuas hati menikmati keyakinan dan kerjasama Singapura sepanjang waktu ini.

Beta berharap sambutan mesra sempena lawatan ini dapat menggambarkan penghargaan besar kami.

Tuan Presiden, beta ingin mengucapkan terima kasih atas penghormatan yang Tuan berikan dengan mengadakan lawatan ini. Kepada Tuan dan Puan Nathan, juga kerajaan dan rakyat Singapura, sekali lagi beta ingin mengucapkan selamat sejahtera dan semoga persahabatan kita terus berkekalan.

Terima kasih. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman

(c) BRUNEIresources.com, 2005. All Rights Reserved.
Best viewed on Mozilla Firefox.
Website designed by Qasrun Nafis (Raw HTML & NotePad).
Background graphic 'jongsarat' designed by the late Musdi Gapar.