B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++ Home | Brunei | His Majesty The Sultan | HRH The Crown Prince | Legislative Council | Government ++
++ Papers | Policy Speeches | Web Links | Financial Planning | Special EDP Program ++

TITAH ,br>Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifudeien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena Majlis Penganugerhan Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Teknik Kebangsaan Ukraine,
Institut Politeknik KIEV, Ukraine
pada 18 Jun 2004/29 Rabiulakhir 1425.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta mendapat penghormatan yang amat tinggi menerima Ijazah Doktor Kehormat dari pusat pendidikan ternama ini. Beta ketahui catatan kesarjanaan dan pencapaian cemerlangnya yang mendapat tempat yang istimewa di hati kesemua rakyat Ukraine.

Ianya dikenali di seluruh dunia akademik sebagai sebuah institusi dengan keunggulan yang tinggi serta tempat bermulanya sumbangan yang mengkagumkan dalam bidang sains dan teknologi. Oleh itu, beta amat berbesar hati atas undangan dari Tuan Yang Terutama Presiden dengan kesempatan berada bersama tuan dan sememangnya mendapat penghormatan atas anugerah yang dikurniakan kepada beta pada hari ini.

Beta menerimanya dengan segala rendah hati juga bagi pihak rakyat beta serta atas pengiktirafan ikatan persahabatan dan muhibah yang terjalin di antara kedua-dua buah negara kita.

Kita berasal dari dua buah negara yang berasal dari benua yang berbeza. Sebenarnya kita hanya baru-baru ini mengenali di antara satu sama lain. Namun demikian, dalam waktu yang singkat, kami di Negara Brunei Darussalam telah mula mengenali dengan begitu banyak mengenai negara tuan.

Untuk membalas sedikit sebanyak kemurahan hati serta layanan baik yang telah diberikan kepada beta pada hari ini, dengan ringkas beta ingin menerangkan bagaimana kami mencuba untuk membuat apa jua sumbangan yang dapat diberikan oleh negara kami yang kecil ini.

Beta ingin memulakan dengan memetik beberapa baris kata-kata yang beta pasti tuan semua ketahui. Ianya ditulis oleh seorang penyajak terkenal negara awda. Kata-kata ini adalah dari Shevchenko:

"Learn my brothers
Think and read
Learn from others
But never spurn
Your own."

Kata-kata yang indah itu ditulis 150 tahun yang lampau dari seorang penyajak yang tidak pernah mendengar mengenai Brunei, jelas membayangkan pendekatan kami terhadap dunia yang hebat di mana kita sama-sama didiami. Ianya memperlihatkan sebuah dunia di mana manusia saling menghormati, belajar di antara satu sama lain, di samping menghargai kesemua yang kita tawarkan di antara satu sama lain.

Di waktu yang sama, mereka mengingatkan kita agar tidak melupakan siapa diri kita sebenarnya. Mereka meminta kita mengakui legasi yang diturunkan kepada kita dari zaman lampau serta menghargai diri kita dan dari mana asal kita.

Ianya satu pandangan dunia bukan berasaskan kepentingan yang khusus dan bukannya mengikut dominasi, sama ada politik, budaya atau militari. Ianya berasaskan persahabatan, penghormatan dan kerjasama, mempunyai harga diri serta menghormati orang lain. Ianya adalah aspirasi kita dalam semua urusan kita dengan jiran tetangga kita juga dengan semua anggota masyarakat antarabangsa.

Oleh itu, komitmen kita yang mendalam terhadap segala prinsip dialog dan perundingan antarabangsa, betapa besar sekalipun sesuatu masalah, betapa lamanya sesuatu proses, betapa mengecewakan hasilnya.

Ini menunjukkan begitu banyak nilai yang amat berharga yang diajarkan kepada kita dalam kepercayaan kita. Kita juga sudah cukup berusia sebagai sebuah negara untuk mengetahui, sebagaimana tuan, pelbagai peralihan dalam masa depan politik yang melanda kesemua negara. Kita telah memperolehi cukup banyak pengalaman sejak berabad-abad untuk menaruh nilai yang amat tinggi bagi kestabilan serta nilai yang amat rendah terhadap permusuhan dengan jiran tetangga kita.

Oleh itu, atas kesemua alasan ini, apa yang kita cari pada hari ini dalam segala urusan kita, pada kedua-dua peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa adalah konsensus. Kami percaya bahawa semuanya dapat dicapai dengan baik dengan mempelajari di antara satu sama lain, mengenali serta memahami di antara satu sama lain dengan lebih baik juga agar sensitif terhadap keprihatinan khusus di antara satu sama lain.

Pengalaman kita dalam mengadakan perbincangan serta bekerja bersama kerajaan dan rakyat Ukraine menjadikan kita berasa bahawa tuan berkongsi kesemua pandangan luas ini serta kesemua matlamat ini pada keseluruhannya.

Atas sebab inilah beta dengan penuh sukacita menerima undangan dari Presiden tuan untuk mengadakan lawatan negara ini serta menimbangkan bagaimana kita dapat meningkatkan hubungan unggul yang kita mula kembangkan ini. Atas sebab inilah juga beta berasa amat dihormati pada hari ini kerana diterima oleh universiti tuan.

Beta ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kesempatan berada bersama tuan sekalian juga kerana penghormatan yang diberikan kepada rakyat dan negara beta atas pengurniaan anugerah ini. Beta menerimanya dengan amat besar hati serta mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman

(c) BRUNEIresources.com, 2005. All Rights Reserved.
Best viewed on Mozilla Firefox.
Website designed by Qasrun Nafis (Raw HTML & NotePad).
Background graphic 'jongsarat' designed by the late Musdi Gapar.