B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPTAMA
PEHIN ORANG KAYA PEKERMA LAILA DIRAJA DATO PADUKA AWANG HAJI HAZAIR BIN HAJI ABDULLAH,
SETIAUSAHA TETAP JABATAN PERDANA MENTERI,
SIMPOSIUM INTEGRITI PERKHIDMATAN AWAM ,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
5 OGOS 2004

Bismilahir Rahmannir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

[Salutations]

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita maka dapat sama-sama hadir di perhimpunan yang penuh kebajikan pada pagi ini iaitu Simposium Integriti Dalam Perkhidmatan Awam.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, para sahabat, kaum kerabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu peramba/kaola/saya sukacita merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Simposium Integriti Dalam Perkhidmatan Awam dan juga kepada sekalian ahli-ahli Jawatankuasa yang menyumbangkan khidmat bagi mengadakan Simposium ini yang akan berjalan selama dua hari.

Hadirin yang di hormati sekalian,

Perhimpunan kita selama dua hari ini, disamping sebahagiannya sebagai memenuhi tuntutan latihan 100 jam setiap tahun bagi setiap pegawai dan anggota kakitangan Perkhidmatan Awam, adalah juga bertujuan bagi meningkatkan kesedaran kita di dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai anggota perkhidmatan awam Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Simposium ini juga merupakan sebagai Perhimpunan Mahasabah Diri sebagai usaha kita bersama, termasuk peramba/kaola/saya sendiri, untuk sama-sama menilai dan melihat perilaku kita sebagai pegawai-pegawai dan anggota perkhidmatan awam dalam konteks sejauhmana kita telahpun berjaya menanai dan mempertahankan integriti perkhidmatan awam Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Integriti Perkhidmatan Awam yang kita maksudkan ialah kearah mempastikan kemampuan perkhidmatan awam negara ini memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan bermutu tinggi, memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pelanggan yang terdiri daripada orang ramai, pihak swasta dan agensi-agensi dalam kerajaan sendiri; memberikan perkhidmatan yang berdaya saing dan inovatif dan memberikan perkhidmatan yang penuh disiplin, bersih, cekap dan amanah.

Kearah mengangkat dan mempertahankan integriti perkhidmatan awam itu ianya bergantung rapat kepada peri laku tenaga manusia yang menggerakkan jentera perkhidmatan awam itu sendiri yang dilihat dari aspek produktibiti, kecekapan, kreatibiti, kemahiran dan pengetahuan, ketaatan kepada raja, pemimpin dan patuh kepada ketua, disiplin yang tinggi, semangat berkumpulan dan setiakawan yang luhur, keboleh-harapan, serta sifat jujur dan penuh amanah dalam memberikan perkhidmatan.

Hadirin yang di hormati sekalian,

Perkhidmatan awam sebagaimana yang kita semua maklum adalah merupakan sebuah institusi dan tulangbelakang kepada pentadbiran di negara ini yang mengurus dan mengendalikan keperluan orang ramai dalam bentuk pentadbiran, pengawalan, penguatkuasaan dan kebajikan.

Walaubagaimanapun, perubahan persekitaran dan pembangunan negara yang pesat telah mengubah tugas dan fungsi perkhidmatan awam secara meluas yangmana bukan sahaja sebagai pembekal perkhidmatan-perkhidmatan yang tradisional tetapi meliputi berbagai tugas seperti menjadi penyedia perkhidmatan; pemudahcara atau facilitator; dan penjaga masa depan negara dan generasi akan datang.

Perkhidmatan Awam juga sentiasa menghadapi tekanan ekspektasi daripada pelanggan-pelanggannya terdiri daripada orang ramai, pihak swasta dan agensi-agensi kerajaan yang menuntut dan mengharapkan Perkhidmatan Awam itu berfungsi secara berkesan dan cekap dalam menyampaikan dan memberikan perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan oleh pelanggan-pelanggan tersebut.

Dengan waktu yang sama dengan adanya interaksi kita dengan dunia luar melalui prosis globalisasi dan perdagangan antarabangsa termasuk komitmen Negara kepada pergolakan dan perkembangan politik dan social serantau dan antarabangsa telah menjadikan sempadan Perkhidmatan Awam bukan sahaja terbatas kepada sempadan nasional akan tetapi melimpasi sempadan tersebut.

Dengan adanya cabaran-cabaran tersebut, Perkhidmatan Awam itu perlu sentiasa bersedia untuk memenuhi permintaan-permintaan perkhidmatan yang bertambah complex dan sophisticated. Jika ianya gagal, sudah setentunya akan menimbulkan kesan kepada perkembangan dan pembangunan sosial dan ekonomi di Negara ini.

Justru itu kesemua anggota dan tenaga yang ada di dalam Perkhidmatan Awam perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan komitmen dengan berlandaskan kepada peraturan dan undang-undang termasuk falsafah Negara Melayu Islam Beraja. Kita juga perlu memikul dengan penuh tanggungjawab bagi perlaksanaan mana-mana dasar kerajaan dan pencapaian objektif-objektif kerajaan.

Hadirin yang di hormati sekalian,

Dalam kita memperkatakan intigriti perkhidmatan awam, ingredient atau bahan utama yang mengujudkan dan menanai intigriti dalam perkhidmatan awam itu ialah KEPERCAYAAN DAN KEBOLEH-HARAPAN pelanggan-pelanggan kepada perkhidmatan awam itu sendiri.

Kepercayaan yang di maksudkan itu, bukan sahaja kepada pegawai-pegawai tetapi kepada jentera pentadbiran dan pengurusan perkhidmatan kerajaan. Kepercayaan ini adalah sangat-sangat penting kerana tanpa adanya kepercayaan orang ramai, sudah setentunya menunjukan jentera pentadbiran yang kita dokong tidak berjalan dengan lancer dan ini juga bererti integriti Perkhidmatan Awam itu dipersoalkan.

Bagi mendapatkan keyakinan ini, ianya memerlukan setiap anggota dalam perkhidmatan awam menjadi orang-orang yang boleh dipercayai dengan mempunyai sikap keboleh-harapan yang jelas dan tidak diragukan oleh mana-mana pihak.

Bagi membolehkan perkara ini berlaku kita hendaklah melaskanakan tugas dan tanggungjawab menurut bidang tugas masing-masing secara jujur, adil dan saksama, bertanggungjawab, penuh dedikasi dan efisyen dan bebas daripada gejala pecah amanah, rasuah dan sebarang penyalahgunaan kuasa dan kepentingan diri sendiri.

Integriti dalam Perkhidmatan Awam itu memainkan peranan yang sangat penting bagi menunjukan kecekapan dan keberkesanan jentera pentadbiran di dalam pembangunan dan kemajuan dan bagi menjamin masa depan Negara dan generasi kita di Negara Brunei Darussalam.

Negara yang mempunyai jentera pentadbiran yang berintegriti dan boleh dipercayai akan dapat menarik minat pelabur-pelabur luar negara untuk melabur di Negara tersebut. Kebolehpercayaan ini adalah merupakan di antara sukat-sukat utama ataupun important yardstick yang digunakan oleh para pelabur di dalam mengenalpasti tempat pelaburan yang mereka kehendaki.

Kearah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Baginda juga telah bertitah bersempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Baginda ke-56 pada tahun 2002 seperti berikut:

“…Kerajaan Beta telah memperkenalkan banyak strategi dan program serta kaedah yang berupa pembaharuan dan usaha untuk memperbaiki pentadbiran dan pengurusan. Antaranya termasuklah Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21, Tekad Pemedulian Orang Ramai, Manual Prosedur Kerja, dan Rukun Ahhlak, dan Etika Kerja. Semua ini adalah untuk membolehkan kita mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang berwawasan dan mempunyai halatuju, serta menjadikannya lebih cekap, produktif, sistematik, dan pemedulian, lagi boleh dipercayai ...”

Hadirin yang di hormati sekalian,

Wawasan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam ialah untuk sentiasa membangun dan berusaha dan menjadi sebuah institusi yang berkualiti dan cemerlang menurut calak Islam dalam persekitaran yang sihat dan selamat di bawah inayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wata’ala. Di dalam konteks ini, matlamat utama perkhidmatan awam ialah untuk mencapai kecemerlangan melalui disiplin yang menurut ajaran ugama Islam.

Pada asasnya, kecemerlangan perkhidmatan awam boleh dicapai melalui perlaksanaan tugas dan tanggungjawab yang bercirikan bersih, cekap, jujur dan amanah. Ciri-ciri yang positif ini perlulah dihayati oleh semua warga perkhidmatan awam di dalam melaksanakan tugas harian. Dari itu integriti dalam perkhidmatan awam adalah berasaskan kepada integriti di kalangan seluruh lapisan pegawai dan kakitangan di dalamnya.

Integriti di dalam Perkhidmatan Awam yang ingin kita capai ialah kesempurnaan dalam pengurusan dan pentadbiran dan perkhidmatan yang diberikan berasaskan keikhlasan, kecekapan, keberkesanan, kejujuran dan ketelusan serta produtiviti dan mutu perkhidmatan yang tinggi.

Kesempurnaan pengurusan dan pentadbiran dan perkhidmatan boleh dilihat dari sudut organisasi dan tenaga manusia dalam Perkhidmatan Awam. Di peringkat organisasi adalah bagaimana perkhidmatan awam itu mencapai wawasan dan matlamatnya secara berterusan melalui penyediaan mekanisme-mekanisme, peraturan-peraturan, akta-akta dan undang-undang tertentu dan seterusnya dilaksanakan dengan berkesan.

Di peringkat tenaga manusia pula, bahawa setiap warga perkhidmatan awam perlu melaksanakan tugas-tugas mereka dengan ikhlas, jujur dan amanah yang berlandaskan kepada ajaran dan tuntutan agama Islam. Mereka perlu patuh kepada peraturan-peraturan dan undang-undang yang mengawal perilaku anggota Perkhidmatan Awam seperti Peraturan Kewangan, Akta Rasuah, Peraturan Am Pegawai dan Kaitangan Kerajaan, arahan-arahan melalui surat keliling dan sebagainya.

Kearah ini kita perlu mengambil iktibar dan peringatan daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha tahun 1424 yang mana Baginda bertitah:

“… bahawa apa jua perkara yang hendak kita buat, kita hendaklah ingatkan Allah. Kita perlu tagih berkat dan petunjuknya. Dalam semua urusan kehidupan jangan ada yang ketinggalan daripada mengingatkan Allah. Jadikan ia unsur asasi di dalam semua urusan kita: urusan keluarga, urusan kampong dan mukim, urusan daerah dan malah urusan negara.”

Setiap individu perlulah memahami dan menghayati ajaran Islam dalamana kita dituntut oleh Islam agar untuk menunaikan kewajipan kita menyara dan memberi nafkah yang sewajarnya terhadap keluarga dan ahli tanggungan kita.

Kearah itu, semua yang mencari nafkah termasuklah kita di dalam perkhidmatan awam ini, dituntut untuk berkerja dan berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang halal sepertimana jua sabda Rasulullah Sallallahu’ alaihi wassalam:

“Bahawa mencari rezeki yang halal itu adalah wajib selepas perkara-perkara fardhu yang lain.”
(riwayat Imam al-Baihaqi)

Hadirin yang di hormati sekalian,

Bekerja dengan penuh beretika sebagai memenuhi budaya kerja cemerlang merupakan budaya kerja amal salih iaitu usaha dan kerja yang diredai oleh Allah. Ini juga menyumbang kepada integriti Perkhidmatan Awam.

Apabila kita sebagai warga perkhidmatan awam melaksanakan tugas-tugas kita baik sebagai Pentadbir atau Pembersih, asal sahaja ianya mendatangkan manfaat kepada diri kita, keluarga, bangsa, Negara dan ummah serta tidak bertentangan dengan hukum-hukum adalah merupakan amal salih.

Apa lagi jika ianya dilaksanakan dengan penuh jujur, dedikasi, sempurna, cekap dan disertai dengan niat yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah, maka ia adalah amal salih. Apabila dilakukan lagi dengan ikhlas, jujur, sempurna, cekap dan berkualiti, itulah kerja budaya cemerlang.

Untuk mencapai matlamat kerja yang penuh cemerlang dan berintegriti, beberapa etika kerja Islam yang terpenting perlu kita hayati. Diantaranya kerja sebagai amal salih, bekerja sepenuh hati dan dedikasi, adil dan saksama, amanah, al-quwwah (atau kekuatan), hafiz (pandai mentadbir dan mengurus), alim (iaitu berilmu), syura (berunding dan bermuzakarah), dan Hablun Min Allah dan Hablun Min An-Nas.

Etika-etika kerja Islam ini merupakan asas dan benteng bagi warga perkhidmatan awam untuk melaksanakan tugas-tugas kita di dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan mempertahankan integriti Perkhidmatan Awam.

Hadirin yang di hormati sekalian,

Pemberian perkhidmatan yang baik, produktif, penuh amanah dan memuaskan kepada orang ramai juga menyumbang kepada integriti perkhidmatan awam. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkali-kali bertitah mengenai dengan keperluan bagi perkhidmatan awam memberikan perkhidmatan yang baik kepada orang ramai seperti dalam titah Baginda bersempena dengan Hari Sambutan Perkhidmatan Awam yang ke 10 pada tahun lepas, Baginda telah menekankan bahawa:

“… perkhidmatan awam bertugas untuk memudah cara dan memenuhi keperluan orang ramai yang berhajatkan perkhidmatan ... Semua anggota perkhidmatan awam adalah mekanisme kerajaan. Sebab itulah, selaku mekanisme ia perlu telus, gigih, amanah dan berfikiran maju. Mekansime yang tidak memiliki ciri-ciri ini adalah mekanisme yang lapuk yang sudah ketinggalan zaman …”

Baginda juga telah mengingatkan semua warga perkhidmatan awam perlunya mereka meningkatkan kualiti dan produktiviti. Ini terkandung dalam intipati titah Baginda sempena tahun masehi 2004:

“… Mengenai perkhidmatan awam, beta berharap agar sekalian anggota perkhidmatan awam akan meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam apa jua bidang yang dikendalikan, serta mengamalkan etika kerja yang tinggi. Tujuannya tidak lain ialah untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan cemerlang dalam menyampaikan khidmat bakti kepada masyarakat dan Negara ...”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah lama menekankan mengenai dengan keperluan bagi perkhidmatan awam mempunyai kejujuran dan amanah. Pada tahun 1971 bersempena dengan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-25, Baginda telah bertitah:

“… Bahawa apa yang Beta hajati ialah kejujuran serta amanah dan kecergasan pada menjalankan pentadbiran dan pekerjaan di jabatan-jabatan Kerajaan Beta, yakni apa yang Beta maksudkan ialah supaya dilebihkan usaha-usaha yang berkesan pada membawa kebajikan serta kebahagian untuk negeri kita Brunei Darussalam – rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sama-sama kita cintai ini …”

Integriti Perkhidmatan Awam itu juga bergantung kepada kemampuan membuat perubahan-perubahan di dalam pentadbiran bagi memenuhi perubahan dan permintaan semasa. Ini selaras dengan intipati titah Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Baginda yang ke-32, Baginda telah bertitah:

“… Kepada semua pegawai dan kakitangan Kerajaan Beta, Beta ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasrat Beta untuk melihat sesuatu perubahan di dalam pentadbiran itu ditujukan bagi meningkatkan lagi mutu pekerjaan masing-masing demi untuk kepentingan Kerajaan, Negara serta rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam ...”

Peringatan yang berulang kali daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ini adalah secara berterusan daripada awal Baginda menaiki takhta. Adalah sangat penting bagi kita sebagai warga perkhidmatan awam mengambil iktibar dan melaksanakan titah-titah Baginda tersebut bagi menanai dan mengangkat integriti Perkhidmatan Awam.

Hadirin yang di hormati sekalian,

Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab seharian dan menghadapi cabaran di hari-hari mendatang kita sebagai warga perkhidmatan awam perlulah menanamkan sifat-sifat luhur dalam mengamalkan etikat kerja yang tinggi dan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Kita juga perlu mempunyai semangat disiplin, berperancangan, berkomitmen, berkorban, beramanah di dalam melaksanakan tugas-tugas kita sebagai warga perkhidmatan awam di dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Pada hakikatnya dan secara penoh tanggungjawab kita sebagai anggota perkhidmatan awam perlu menerima kenyataan bahawa masih banyak terdapat ruang-ruang yang memerlukan pembaikan di dalam memberikan perkhidmatan awam kepada orang ramai dan sektor swasta di negara ini.

Ruang-ruang pembaikan dan peningkatan itu dapat kita lihat dari tiga bidang yang tertentu iaitu dari skop struktur organisasi, pengurusan organisasi dan tenaga manusia di dalam organisasi. Ini dapatlah di huraikan secara ringkas seperti berikut:-

Kita perlu meningkatkan keberkesanan organisasi dengan mempastikan struktur yang terdapat di dalamnya adalah menepati dengan ruang dan bidang tugas yang akan dilaksanakan serta hasil yang ingin di capai oleh organisasi berkenaan.

Dalam waktu yang sama penilaian dan perubahan keatas stail pengurusan adalah sangat perlu bagi mempastikan kecekapan, keberkesanan, mengujudkan suasana kerja yang kondusif, menyediakan perancangan-perancangan yang padu dan strategik; peningkatkan produktibiti, mengoptimakan penggunaan sumber dan memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pelanggan-pelanggan. Yang penting juga di berikan perhatian ialah mensejajarkan misi, visi dan matlamat pengurusan setiap Kementerian dan Jabatan-jabatan dibawahnya kepada matlamat dan visi besar negara dengan mempastikan sesebuah organisasi mendukong dan menyokong matlamat dan visi berkenaan baik secara langsung ataupun tidak langsung.

Manakala di peringkat individu, setiap anggota di dalam sesebuah organisasi perlu mempunyai azam kearah mempertingkatkan komitmen, disiplin diri dan etika kerja; mematuhi peraturan-peraturan kerja; meningkatkan kemahiran dan produktibiti diri; meningkatkan kefahaman prosedur kerja dan yang berkaitan dengannya; mengutamakan kerja daripada keperluan atau urusan peribadi; patuh dan hormat kepada ketua dan saling hormat menghormati diantara satu dangan lain.

Bagi mendorong anggota perkhidmatan awam untuk maju bergerak kepada perkembangan dan kemajuan yang positif kita perlu berpegang dan berpandukan kepada kaedah-kaedah yang sudah di sediakan iaitu seperti Wawasan Perkhidmatan Awam Abad 21, Etika Kerja Perkhidmatan Awam, peraturan-peraturan melalui General Order dan surat-surat keliling Jabatan perdana Menteri.

Hadirin yang di hormati sekalian,

Kita perlu meningkatkan mutu dan produktibiti kerja melalui muhasabah diri bagi kebaikan dan peningkatan mutu perkhidmatan yang di berikan dengan menanyakan kepada diri kita apakah usaha-usaha yang sudah kita lakukan kearah mengatasi kelohan-kelohan orang ramai dan sektor swasta mengenai kelambatan-kelambatan, kurang profesionalisma, perlaksanaan Tekad Pemedulian Orang Ramai yang kurang berkesan, perkhidmatan kaunter yang tidak memuaskan, pegawai dan kakitangan yang susah untuk di hubungi atau tidak ada di pejabat dan kurang penyalarasan di kalangan agensi-agensi di dalam perkhidmatan awam?

Kearah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Baginda juga telah bertitah bersempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Baginda ke-56 pada tahun 2002 seperti berikut:

“… Di dalam meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan mutu perkhidmatan Negara Brunei Darussalam di samping tumpuan diberikan kepada aspek-aspek kualiti dan produktiviti, yang penting sekali bagi mencapai matlamat ini ialah displin dan komitmen yang tinggi di kalangan anggota perkhidmatan awam … Semangat berpasukan, hormat menghormati, patuh kepada peraturan dan etika kerja perlulah sentiasa dipraktikkan oleh anggota perkhidmatan awam di semua peringkat …”

Dari itu, kita juga perlu membuat penilaian diri dengan mempastikan waktu berkerja lebih banyak di tumpukan kepada urusan-urusan pejabat dan pemberian perkhidmatan kepada pelanggan yang terdiri dari orang ramai dan sektor swasta daripada di gunakan bagi urusan peribadi. Usaha untuk memberikan perhatian kepada waktu bekerja adalah juga merupakan sebagai sebahagian daripada displin anggota perkhidmatan awam.

Perlunya displin ini diberikan perhatian oleh anggota perkhidmatan awam pernah ditegaskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berjumpa dengan Ketua-Ketua Pejabat pada tahun 1988 dalam mana Baginda telah bertitah:

“… Ketua-Ketua Pejabat hendaklah sentiasa mengawasi dan memata-matai pegawai-pegawai dan kakitangan di jabatan masing-masing untuk mempastikan mereka itu menjalankan tugas-tugas mereka dengan sempurna dan bukannya menyeleweng daripada apa yang dipertanggungjawabkan. Mereka juga hendaklah sentiasa mematuhi segala peraturan-peraturan dan undang-undang kerja yang dikuatkuasakan … Ketua-Ketua Pejabat seharusnya tidak merasa ragu-ragu untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas kakitangan yang melanggar peraturan-peraturan bekerja apabila didapati sabit kesalahan mereka setelah penyiasatan yang teliti diadakan …”

Insya’Allah, jika kita semua mempunyai kesedaran dan sama bangun bergerak kearah satu matlamat untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang kita akan dapat menanai dan mengangkat integriti perkhidmatan awam sebagai sebuah perkhidmatan yang cemerlang dan berwibawa di Negara Brunei Darussalam.

Hadirin yang di hormati sekalian,

Sepertimana yang kita maklum, permintaan perkhidmatan dari pelanggan-pelanggan terdiri daripada orang ramai dan sector swasta adalah semakin sofistikated disamping mempunyai ekspektasi yang tinggi. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah serious dalah usahanya untuk mempastikan kelicinan di dalam jentera pentadbiran meujudkan perkhidmatan yang lebih ‘customer focused’ dan customer friendly’.

Olih yang demikian peranan Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan di dalam memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi ini adalah sangat mencabar.

Pada masa yang sama juga, cabaran-cabaran dalaman dan cabaran-cabaran luaran di era globalisasi memerlukan setiap Kementerian dan Jabatan bertindak dengan menggarap dan mempergunakan setiap tenaga yang ada secara berhasil, maksima dan effisyen bagi pencapaian kepada wawasan perkhidmatan yang cemerlang, bermutu tinggi dan berwibawa serta berdaya saing.

Ini bermakna jentera pentadbiran negara harus melalui perubahan-perubahan bukan sahaja dari segi prosedur dan peraturan tetapi juga dari segi budaya kerja bagi tujuan untuk memperbaiki dirinya dan memenuhi kehendak pelanggan. Perubahan mindset setiap warga perkhidmatan awam itu juga, Insya’Allah akan dapat membantu Kerajaan dalam melaksanakan strategi dan rancangan pembangunan kerajaan.

Sistem dan prosedur kerja di setiap Jabatan hendaklah dikaji semula bagi meningkatkan kecekapan, keberkesanan, ketelusan serta akauntabiliti dalam perkhidmatan disamping pencegahan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Setiap jabatan hendaklah mempunyai panduan kerja yang jelas dan telus bagi membolehkan pegawai-pegawainya membuat keputusan tanpa memberikan peluang bagi membolehkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Kesemua ini memerlukan kepimpinan daripada pegawai-pegawai kanan di dalam perkhidmatan awam daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan Ketua-Ketua Jabatan dan seterusnya kepada Ketua-Ketua Bahagian dan Unit di Kementerian dan Jabatan-Jabatan.

Pengwujudan integriti dalam Perkhidmatan Awam memerlukan kepimpinan disamping mendapatkan kerjasama dan sokongan yang padu daripada semua pihak di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-38 pada tahun 1984 sendiri telah menekankan betapa pentingnya tugas-tugas Ketua-Ketua Jabatan di dalam keberkesanan pentadbiran jentera kerajaan:

“... Dalam usaha untuk membentuk sebuah pentadbiran yang efisien dan berkesan, maka Beta mengingatkan kepada semua ketua-ketua jabatan supaya mengambil perhatian yang berat terhadap kakitangan di bawah mereka, kerana kakitangan di sesebuah jabatan itu memainkan peranan yang penting dalam kelicinan dan keberkesanan sesuatu pentadbiran…”

Semasa perjumpaan Baginda dengan Ketua-Ketua Jabatan, Baginda juga telah mengingatkan:

“… adalah mustahak supaya semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan sentiasa mempertingkatkan daya-usaha untuk mewujudkan system pentadbiran yang cekap, berkesan, bersih lagi amanah … perlu bagi ketua-ketua pejabat supaya meningkatkan daya initiative yang positive serta sentiasa memperbaiki mutu perkhidmatan dan productivity masing-masing … ketua-ketua pejabat mempastikan peraturan-peraturan … dipatuhi dan dituruti oleh pegawai-pegawai dan kakitangan masing-masing, adalah perlu bagi ketua-ketua pejabat sendiri juga mematuhi peraturan-peraturan itu dan memberikan contoh-tauladan yang baik kepada pegawai-pegawai bawahan …”

Bagi Setiausaha-Setiausaha Tetap pula, Baginda telah bertitah semasa perjumpaan bersama Setiausaha-Setiausaha Tetap pada tahun 1988 seperti berikut:

“… adalah mustahak bagi Setiausaha-Setiausaha Tetap untuk memainkan peranan mereka dengan lebih berhati-hati dan positif … Setiausaha-Setiausaha Tetap adalah juga merupakan teraju utama dalam usaha Kerajaan untuk mewujudkan sebuah system pentadbiran yang benar-benar cekap, berkesan, bersih lagi amanah … produktiviti dan pretasi kerja di Kementerian-Kementerian masing-masing hendaklah dipastikan meningkat dan bermutu tinggi, terutama sekali di dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai, iaitu dengan mempastikan pegawai-pegawai dan kakitangan mereka adalah sentiasa mempunyai dedikasi yang tinggi dan perasaan tanggungjawab ke atas setiap tugas dan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan kepada mereka … “

Hadirin yang di hormati sekalian,

Integriti dalam perkhidmatan awam adalah satu konsep yang perlu diwujudkan bagi mencapai matlamat perkhidmatan awam sebagai sebuah institusi yang berkualiti dan cemerlang.

Integriti di dalam Perkhidmatan Awam bermakna perkhidmatan awam berjaya memberikan kepercayaan dan keboleh-harapan kepada orang ramai dalam memberikan perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan dengan memuaskan. Dan dengan sedemikian juga pihak Kerajaan akan dapat melaksanakan sebarang program dan projek dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan Negara dengan penuh sokongan dari orang ramai, Insya’Allah.

Integriti itu adalah berasaskan kepada nilai-nilai murni termasuklah bersih, amanah, ikhlas, jujur, bertanggungjawab, saksama, semangat setiakawan dan penuh iltizam dan dedikasi dalam melaksanakan tugas di kalangan setiap anggota perkhidmatan awam.

Kewajipan menanai integriti dalam Perkhidmatan Awam hendaklah dilaksanakan secara sepadu dan dengan penuh collaboration di semua peringkat pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam tanpa mengira pangkat dan jawatan. Setiap individu dalam perkhidmatan awam perlu memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan bidang tugas yang sudah diberikan kepada mereka. Setiap anggota Perkhidmatan Awam itu perlu mempunyai iltizam dan azam untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Marilah kita bersama-sama berdoa agar segala usaha yang dikendalikan ini akan mencapai hasil yang dihasratkan, demi untuk kebaikan negara dan mendapat keberkatan dan keredaan Allah Subhanahu Wataala jua.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Pehin Hazair/Rozan Yunos