B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++ Home | Brunei | His Majesty The Sultan | HRH The Crown Prince | Legislative Council | Government ++
++ Papers | Policy Speeches | Web Links | Financial Planning | Special EDP Program ++

TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA AMAR PAHLAWAN DATO SERI PADUKA AWANG HAJI ZAKARIA, MENTERI PERHUBUNGAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS PELANCARAN KEMPEN KEBANGSAAN KESELAMATAN JALAN RAYA TAHUN 2005
Isnin 2hb Rabiulawal 1426H/ 11hb April 2005M
Bertempat di Atrium, The Mall Shopping Complex, Gadong

Assalamu ’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Selamat Pagi
Bismillah Hirrahman Nirrahim

Segala puji kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas limpah kurnia perkenanNya yang telah mempertemukan kita semua dalam Majlis yang penuh berkebajikan ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wassalam, kaum kerabat dan para sahabat Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu Peramba/koala/saya sukacita ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya dan Jawatankuasa Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya pagi ini, di atas penghormatan yang diberikan kepada peramba/koala/saya untuk hadir selaku Tetamu Kehormat dan diberikan kesempatan untuk menyampaikan ucapan di majlis ini.

Izinkan juga peramba/koala/saya merakamkan penghargaan setinggi-tinggi terima kasih dan syabas kepada gabungan Brunei Shell Petroleum Company Sendirian Berhad, Brunei LNG Sendirian Berhad, Brunei Shell Tankers Sendirian Berhad dan Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad, yang telah dapat mengungkayahkan Kempen Keselamatan Jalan Raya ini bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya dan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang lain untuk meningkatkan kesedaran pengguna-pengguna jalan raya tentang kepentingan keselamatan jalan raya itu sendiri.

Kita sama-sama maklum bahawa bilangan kenderaan dan pengguna-pengguna jalanraya telah semakin meningkat. Nisbah jumlah kenderaan di Negara ini bagi setiap orang penduduk adalah merupakan yang tertinggi di rantau ini. Pada tahun 2003 sahaja terdapat sebanyak 244, 727 buah kenderaan termasuk motosikal di negara ini, iaitu peningkatan sebanyak 60% dalam masa 10 tahun kebelakangan. Ini berbanding dengan jumlah penduduk negara ini yang dianggarkan sebanyak 370,000 orang.

Keadaan ini sudah setentunya memberikan pelbagai cabaran dan memerlukan perhatian yang serius terhadap perkara yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya. Isu atau kepentingan keselamatan jalan raya ini sering diperkatakan dewasa ini sehingga ianya menjadi satu agenda utama kebangsaan. Secara keseluruhannya, setiap negara sangat-sangat menitik-beratkan isu keselamatan ini sebagai satu keutamaan. Ini termasuk Negara Brunei Darussalam dimana sejak penubuhan Majlis Keselamatan Jalan Raya di bawah Kementerian Perhubungan pada tahun 1977, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah membelanjakan jumlah yang banyak untuk meningkatkan kualiti jalan raya seiring dengan kemajuan seperti yang telah dirancangkan dalam Rancangan Kemajuan Negara yang ke-lapan yang merangkumi pembangunan-pembangunan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan jalan raya di kawasan luar bandar.

Peramba/koala/saya percaya bahawa isu keselamatan dan kemalangan jalan raya adalah merupakan isu global yang perlu ditangani bersama dan bukan hanya diserahkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan tetapi ianya juga menjadi tanggungjawab badan bukan kerajaan (NGO) dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain selaras dengan slogan Majlis Keselamatan Jalan Raya Negara ini iaitu “Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Bersama”.

Majlis Keselamatan Jalan Raya yang ahlinya adalah daripada agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta telah merancang dan melaksanakan pelbagai program yang bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya melalui pendekatan 3E, iaitu Education, Engineering dan Enforcement. Pendekatan 3E secara ringkas memusatkan inisiatif dan aktiviti-aktiviti program keselamatan jalan raya menerusi pendidikan kepada pengguna-pengguna jalanraya melalui media-masa, pameran, ceramah, jerayawara dan sebagainya. Disamping itu Engineering atau kejuruteraan pula merangkumi tahap kualiti dan keselamatan infrastruktur jalan raya dan kenderaan, seperti ciri-ciri keselamatannya dan ‘control measures’ terhadap kenderaan yang mesti mencapai tahap ‘road worthiness’. Sementara itu enforcement pula adalah perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan lalulintas jalan raya. Ketiga-tiga (3) aspek ini adalah sangat penting bagi tujuan pemantauan, penilaian dan pembaikan dalam menangani isu keselamatan jalan raya.

Disebalik peningkatan jumlah kenderaan seperti yang Peramba/Kaola/saya nyatakan tadi, diantara tahun 1996 hingga 2003 negara ini telah mencatatkan penurunan nisbah kadar kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap sepuloh ribu (10,000) kenderaan iaitu daripada 3.66 kepada 1.14, iaitu penurunan sebanyak 69%.

Walaubagaimanapun tahun 2004 telah mencatatkan peningkatan kadar kematian yang membimbangkan ia itu sebanyak 28% dari tahun sebelumnya. Malahan mengikut laporan pihak Polis Diraja Brunei, kemalangan sendiri dan kemalangan yang melibatkan kereta sama kereta telah mencatatkan angka yang tertinggi. Ini menunjukkan bahawa kemalangan dalam kategori tersebut adalah merupakan satu keadaan yang berpunca daripada sikap pemandu dan pengguna jalan raya itu sendiri. Kecuaian, sikap gemar memandu dengan laju dan tidak mematuhi peraturan lalulintas serta mengambil ringan terhadap undang-undang lalulintas dan keselamatan jalan raya menjadi penyebab utama berlakunya kemalangan.

Peramba/kaola/saya ingin berseru kepada rakyat dan penduduk di Negara ini terutama sekali pemandu-pemandu kereta bahawa undang-undang lalulintas hendaklah dipatuhi setiap masa dan tidak sepatutnya diabaikan. Undang-undang lalulintas ini diciptakan adalah semata-mata untuk menjaga keselamatan kepada semua pengguna jalan raya. Pemandu-pemandu hendaklah senantiasa mematuhi undang-undang lalulintas dan senantiasa berhati-hati di jalanraya dengan mengikut etika penggunaan jalanraya iaitu mementingkan dan mengutamakan keselamatan untuk semua. Ini merupakan tanggungjawab semua pemandu kerana keselamatan adalah tanggungjawab kita bersama. Peramba/kaola/saya juga seterusnya ingin menyarankan kepada semua sekolah-sekolah memandu supaya dalam memberikan pengajaran kepada pemandu-pemandu, abis kita haruslah menekankan akan betapa pentingnya keselamatan jalanraya dan peraturan-peraturan yang diluluskan termasuk highway code, haruslah dipatuhi demi untuk menjamin keselamatan semua, insya’Allah.

Jaminan bagi usaha menghindarkan atau mengurangkan kemalangan adalah terletak di tangan pemandu dan pengguna jalan raya itu sendiri dengan memastikan jalan raya adalah tempat yang selamat. Manakala jaminan dari aspek kejuruteraan keselamatan jalan raya dan kenderaan telah diselaraskan dengan pencapaian Standard Antarabangsa dan memenuhi spesifikasi global. Dengan adanya kedua jaminain ini, keperluan untuk mencapai matlamat keselamatan jalan raya akan lebih mantap lagi dengan penerapan kesedaran mengenainya di peringkat awal semata-mata bagi tujuan mendisiplin dan seterusnya menjadikan seorang pemandu itu bertanggungjawab ketika berada di jalan raya. Peramba/Kaloa/Saya penuh berharap Kempen Keselamatan Jalan Raya yang akan dilancarkan pagi ini akan berjaya memenuhi objekif yang dimaksudkan iaitu mengwujudkan pengguna jalan raya yang lebih berhemah, lebih berdisplin, bersopan santun, patuh dan dipercayai.

Sementara itu, bidangkuasa Penguatkuasaan secara holistik dan menyeluruh oleh pihak penguatkuasaan - Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Kerja Raya dan agensi lain perlu ditingkatkan dari masa ke semasa. Adunan kerjasama daripada pihak swasta dan orang ramai juga akan setentunya dapat meningkatkan penerapan keselamatan jalan raya ini menjadi lebih berkesan dan mencapai kejayaan seperti yang sama-sama kita inginkan.

Seterusnya peramba/koala/saya sekali lagi sukacita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Syarikat Brunei Shell Petroleum Company Sendirian Berhad, Brunei LNG Sendirian Berhad, Brunei Shell Tankers Sendirian Berhad, Brunei Shell Marketing Company Sdn. Bhd, Agensi-agensi Kerajaan serta Sektor Swasta diatas komitmen serta inisiatif dalam sama-sama berganding bahu menjayakan pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya 2005.

Di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan majlis ini, peramba/kaola/saya berdoa semoga Allahu Subhanahu Wa Ta’ala jua akan mengurniakan balasan serta ganjaran yang setimpal.

Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala mudah-mudahan usaha bersepadu ini akan dapat mempertingkatkan tahap keselamatan jalan raya, InsyaAllah.

Dengan mendahulukan Kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim dan Selawat dan Salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam, peramba/kaola/saya sukacita melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun 2005.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamu ‘Alaikum Wa Rahmatullahi Wabaraktuh.

(c) Ministry of Communications

(c) BRUNEIresources.com, 2005. All Rights Reserved.
Best viewed on Mozilla Firefox.
Website designed by Qasrun Nafis (Raw HTML & NotePad).
Background graphic 'jongsarat' designed by the late Musdi Gapar.